top of page

PDPR: SIRIUS TV, STESEN TV SATELIT BAHARU TAWAR DUA SALURAN PERCUMA PADA KPM

  • nabalunews
  • Jan 27, 2021
  • 1 min read

27 JAN 2021

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen satelit berbayar yang bakal dilancarkan di negara ini, Sirius TV, menawarkan dua saluran percuma kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dijadikan saluran televisyen pendidikan untuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMART Digital International Sdn Bhd (SMART) Khairuddin Abdul Rahman berkata tawaran itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab SMART sebagai pengendali stesen televisyen Sirius TV bagi meringankan beban masyarakat dalam mendepani pandemik COVID-19. "Penggunaan dua saluran tersebut akan dapat membantu KPM untuk menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan menengah dengan lebih meluas memandangkan satelit SES-12 yang digunakan Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di kawasan pendalaman.

"Ini sekali gus membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahu pun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian Internet," menurutnya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata bagaimanapun, KPM belum memberikan maklum balas kepada tawaran Sirius TV. Beliau berkata melalui penggunaan dua saluran percuma yang ditawarkan Sirius TV, pelaksanaan PdPR akan dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya terutama di kawasan capaian Internet tidak memuaskan selain membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan peranti.

Khairuddin berkata tawaran Sirius TV adalah selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia terhadap cadangan mewujudkan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar. Katanya stesen satelit Sirius TV akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dengan 30 saluran menawarkan pakej tanpa kontrak dan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page