PDRM, APM bantu keluarkan pesakit terperangkap banjir di Kg.Dandun Laut
3 Jan 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PITAS: Anggota Polis Diraja Malasia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kawasan Pitas membantu mengeluarkan dua pesakit dari Kampung Dandun Laut di sini yang memerlukan rawatan.
Ketua operasi APM Pitas Kpl.Joyini Buling berkata, operasi membantu mengeluarkan pesakit itu melibatkan dua anggota PDRM dan tiga APM.
"Pasukan penyelamat membantu mengeluarkan dua pesakit dari Kampung Dandun Laut yang terperangkap akibat banjir.
"Pesakit dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan hemodialisis. Kampung Dandun Laut antara kampung yang terputus hubungan akibat banjir sejak beberapa hari lalu," katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.
Berdasarkan laporan terkini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah setakat jam 12 tengahari hari ini, sebanyak 234 mangsa banjir daripada 94 keluarga dilaporkan ditempatkan di empat PPS Pitas.
Dilaporkan tiga kampung terjejas banjir di Pitas iaitu Kg.Salimpodon Darat, Kg.Kusilad dan Kg.Pinggan-Pinggan dan 21 buah kampung terputus hubungan.
Kampung-kampung yang terputus hubungan ialah Kg. Pandan Mandamai, Kg.Lugu, Kg.Pandan, Kg.Kobon, Kg.Mandamai, Kg.Tukar, Kg.Perupuk, Kg.Mandamai Bai, Kg.Sosop Bai, Kg.Sosop, Kg.Dandun Pusat, Kg.Dandun Laut, Kg.Dandun Darat,Kg.Tutuwoon, Kg.Mandurian Laut, Kg.Maliau, Kg.Pinapak, Kg. Bambangan Ulu, Kg.Maliau Pusat, Kg.Bilal dan Kg.Lokos Vunul.
Comments