PDRM tawar diskaun 70 peratus saman trafik mulai esok
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

31 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 70 peratus bermula esok (1 November) hingga 30 Disember 2025.
Kempen itu diadakan selaras dengan keputusan kerajaan menyelaras semula kadar serta kaedah kompaun saman trafik PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan mula berkuat kuasa 1 Januari 2026 berasaskan prinsip “The less you delay, the less you pay”.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kempen pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 70 peratus itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman tertunggak sebelum kadar baharu dikuatkuasakan tahun depan.
“Pembayaran boleh dibuat melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID, dan di semua kaunter trafik daerah serta Pejabat Pos Malaysia seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, kadar diskaun tidak terpakai bagi kategori kesalahan yang tidak boleh dikompaun (non-compoundable) manakala tawaran pengurangan tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30.
“Pihak JSPT menggalakkan orang ramai untuk menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Disember 2025, sekali gus menyokong usaha kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat,” katanya.


















Comments