Pedalaman Sabah hasilkan hampir 40% pengeluaran koko negara
29 Julai 2024
KENINGAU: Kawasan pedalaman Sabah menyumbang sebanyak 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran koko negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ada pekebun kecil di Keningau, Sabah yang mengeluarkan hasil koko sebanyak lebih 1,000 kilogram (kg) per hektar setahun berbanding produktiviti nasional sebanyak 100 kg per hektar setahun.
“Malahan, sebahagian biji koko dari kawasan ini telah menjadi pilihan dan dibeli oleh pengeluar coklat single origin dan beans-to-bar,” katanya ketika merasmikan Kursus Teknologi Pasca Tuai dan Pemantapan Kelompok Koko dan Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau, di sini, hari ini.
Johari berkata pekebun koko termasuk di Sabah perlu dibantu untuk meningkatkan pengeluaran hasil koko agar negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada import komoditi itu sedangkan Malaysia pada satu ketika adalah antara pengeluar utama koko di dunia.
"Pengeluaran koko (di negara ini) kurang, tinggal 500 tan metrik sahaja sedangkan negara mengimport 500,000 koko, 500 ribu metrik tan koko, jadi bila kita import 500 ribu metrik tan koko, jadi harga koko pula sekarang mahal jadi dia sudah menyebabkan banyak peluang-peluang baru dalam negara kita ni untuk melihat bagaimana koko ni boleh dihidupkan semula dari segi industri.
"Jadi 500 ribu ni kalau kita tengok, kita import, kalau kita based on current price, RM24 per kg, worth about 12 billion ya, so sekarang ni kita import lebih kurang 7, 8 billion macam tu, jadi adalah koko gred rendah dan koko gred tinggi tapi secara purata kira-kira RM24 sekilogram, jadi kalau industri tu nilai dia 12 billion, sudah tentu kalau kita lihat balik tumpu balik ni, jadi kita boleh mengurangkan import sebab tu kita nak bantu petani-petani yang menanam koko, sebahagian daripada mereka bekerja sendiri, dia boleh keluarkan 1 tan 1 hektar. Makna 1,000 kg. 1 kg RM24, bayangkan, banyak potensi," katanya.
Johari berkata beliau telah mengarahkan Lembaga Koko Malaysia, memberi penumpuan kepada pengeluaran koko nil dengan melibatkan syarikat-syarikat besar.
"Jadi bila skala besar ni, kita ada pengalaman bila kita mengendalikan komoditi secara berskala besar ni, dia akan jadi macam kelapa sawit, kita boleh mengeksport 100 billion, kita tak import, kita eksport 100 billion," katanya.
Johari berkata, bagi menyokong pembangunan tanaman koko di pedalaman Sabah, Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang melaksanakan beberapa program pembangunan seperti Program Pemulihan Kebun Koko, pembinaan Mini Pemprosesan Biji Koko serta menyampaikan teknologi pengurusan kebun koko melalui aplikasi teknologi IoT dan mekanisasi.
Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau Ulu telah siap dibina dengan kos sebanyak RM70,000 dan dimanfaatkan oleh seramai 80 orang pekebun kecil koko di kawasan sekitarnya.
Menurutnya, mini pemprosesan koko ini menyasarkan pengeluaran sebanyak 100 tan biji koko kering yang dijangka mampu memberi keuntungan melebihi RM200,000 setahun berdasarkan harga komoditi itu masa kini.
Dalam sidang media ini, Datuk Seri Johari berkata kawasan penanaman koko di pedalaman Sabah termasuk Sook, Tenom, Nabawan dan Sipitang berpotensi besar untuk dimajukan bagi memenuhi permintaan global.
Sehubungan itu beliau mahu aspek penyelidikan dan pembangunan termasuk bagaimana menangani penyakit berkaitan koko akibat serangga perosak diberikan penekanan.
"So kita nak macamana kita boleh terus membangunkan industri koko ni dan saya dah bagitau Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk menumpukan perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan dari segi penyakit-penyakit koko ni sebab bila ada penyakit, kita mesti bertindak amat pantas untuk menyelesaikannya. Apabila sudah diselesaikan, maka petani-petanu akan untung tapi kalau tak ada orang menyelesaikan masalah ini, maka dia akan, dia rugi dia taklah tanam. Bila dia tak nak tanam, maka dia convert lah pergi tanaman lain. Kan, yg tu kita tak nak. Kita nak biar dia kekal menanam koko, penyelidikan dan pembangunan ini penting kita buat," katanya.
Johari berkata bagi menarik minat penglibatan golongan belia dalam penanaman koko, LKM telah mewujudkan Kelab Belia Koko yang mendedahkan mereka dengan peluang menimba ilmu dan menambah pendapatan di dalam industri koko.
Katanya ini secara tidak langsung dapat mengurangkan isu mengenai kekurangan tenaga kerja di sektor penanaman koko di masa hadapan.
Menurut beliau, industri koko menyumbang pendapatan eksport sebanyak RM8.2 bilion tahun lalu yang jelas menunjukkan kepentingan industri ini sebagai pemangkin ekonomi negara.
Sehingga Mei 2024, pendapatan eksport industri koko telah mencapai RM4.8 bilion iaitu kira-kira 58% berbanding pencapaian tahun lalu.
Comments