top of page

Pegawai Daerah harus tingkatkan Integriti dan kecekapan urus projek rakyat

  • nabalunews
  • Aug 15, 2024
  • 2 min read

15 Ogos 2024


TUARAN: Semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah di negeri ini diingatkan untuk tidak hanya menjaga amanah yang diberi, tetapi juga memastikan setiap projek pembangunan yang disalurkan kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


Hajiji menyatakan bahawa beliau telah menerima banyak aduan dan laporan berkaitan isu integriti serta ketelusan yang melibatkan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, termasuk keluhan mengenai kelambatan dalam menyelesaikan urusan yang penting untuk rakyat.


“Saya mempunyai maklumat terperinci dan khusus mengenai perkara ini kerana itu saya minta aspek ketelusan dan integriti ditingkatkan. Permudahkan urusan rakyat...kalau boleh selesai satu, dua hari jangan ambil masa satu, dua bulan selesaikan hingga beri impak kepada usaha kita bantu rakyat.


“Saya tidak berkompromi jika benar terbukti ada unsur sengaja mahu lengah-lengahkan projek untuk rakyat, atau cari kesempatan ambil keuntungan daripada projek. Saya akan ambil tindakan kepada Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah tidak laksana tugas diamanahkan,” katanya di sini hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-27 2024 di sini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.


Hajiji turut menekankan pentingnya Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah berkongsi maklumat dengan wakil rakyat mengenai projek pembangunan, terutama yang melibatkan projek kecil untuk rakyat, agar pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan.


“Ada saya terima aduan Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah tidak berikan kerjasama penuh kepada wakil rakyat dalam laksana projek negeri dan Persekutuan sehingga ada ditanya rakyat (perkembangan projek), tetapi wakil rakyat tidak tahu.


“Janganlah kerana kekurangan seperti ini wakil rakyat dipersalahkan kerana ini adalah ketidakcekapan pegawai. Laksanakan tugas dengan baik, banyak lagi yang perlu kita lakukan sekarang ini terutama usaha kita untuk selesaikan isu kemiskinan dan miskin tegar di Sabah ini,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page