top of page

Pegawai Daerah perlu berani ambil pendekatan baharu

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 3 min read

KENINGAU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil sentiasa mengamalkan budaya kerja yang responsif, proaktif dan berintegriti serta berani mengambil pendekatan baharu.


“Kita perlu berani mengambil pendekatan baharu sekiranya pendekatan tersebut dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


“Namun, pada masa yang sama, setiap tindakan hendaklah dibuat berdasarkan peraturan, tatakelola dan kepentingan rakyat,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah kali ke-29 di Hotel Perkasa di sini pada Isnin.



Beliau berkata tema persidangan pada tahun ini, “Memacu Inovasi, Memperkasa Komuniti”, amatlah bertepatan dengan keperluan pentadbiran awam pada masa kini.


“Kita berhadapan dengan perubahan yang begitu pantas. Kemajuan teknologi, perubahan ekonomi global, perubahan sosial serta peningkatan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam menuntut kita supaya terus memperbaiki cara kita bekerja.


“Pentadbiran kerajaan perlu lebih cekap, responsif dan berpaksikan kepada keperluan rakyat,” katanya.



Dalam konteks ini, Ketua Menteri berkata Pejabat Daerah merupakan antara institusi penting dalam jentera Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.


“Pegawai Daerah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan dasar, program dan projek kerajaan dapat diterjemahkan kepada tindakan di lapangan,” katanya.


“Tuan-Tuan dan Puan-Puan bukan sahaja berperanan dalam menyelaras pembangunan daerah, tetapi turut menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.


Hajiji berkata Kerajaan Negeri kini meneruskan agenda pembangunan Sabah melalui Sabah Maju Jaya 2.0 yang merupakan kesinambungan kepada asas pembangunan sebelum ini.


Namun, kejayaan agenda pembangunan ini tidak hanya bergantung kepada perancangan di peringkat Kerajaan Negeri malah ianya bergantung kepada keupayaan seluruh jentera kerajaan untuk melaksanakannya, katanya.


Sekali lagi, dalam hal ini, katanya, Pegawai Daerah dan Pejabat Daerah mempunyai peranan yang amat penting.


“Pejabat Daerah merupakan antara institusi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Oleh itu, peranan saudara dan saudari dalam memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat adalah sangat besar.


“Kita juga perlu melihat pembangunan negeri dalam perspektif jangka panjang. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, kita telah melalui pelbagai cabaran, termasuk kesan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi.


“Namun, kita terus melaksanakan pembangunan dan memperkukuh asas ekonomi negeri. Apa yang telah dibina perlu diteruskan dan diperkukuhkan.


“Sebab itu, kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran amat penting. Pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Ia memerlukan perancangan yang konsisten, dasar yang jelas dan jentera kerajaan yang mampu melaksanakan perancangan tersebut,” katanya.


Dalam hubungan ini, Ketua Menteri mahu seluruh jentera kerajaan, termasuk Pejabat Daerah, memahami hala tuju pembangunan negeri.


“Kita mempunyai perancangan. Kita mempunyai peruntukan. Kita mempunyai projek-projek yang telah dikenal pasti. Dan kita mempunyai jentera kerajaan di semua peringkat.


“Apa yang diperlukan ialah penyelarasan, disiplin pelaksanaan dan komitmen untuk memastikan semua perancangan tersebut menghasilkan manfaat kepada rakyat,” katanya.


Pegawai Daerah juga diarahkan agar memberi perhatian kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan jangan menunggu sesuatu masalah menjadi besar.


“Jika terdapat isu, ambil tindakan lebih awal. Jika memerlukan penyelarasan dengan agensi lain, lakukan segera. Jika terdapat potensi yang boleh dibangunkan, bantu memudahkannya.


“Pendekatan seperti ini perlu menjadi budaya kerja dalam pentadbiran daerah,” katanya.


Hajiji turut mengingatkan bahawa kelewatan projek tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana setiap kelewatan memberi kesan kepada rakyat.


“Jika terdapat masalah dalam pelaksanaan, kita perlu bertindak lebih awal. Jika terdapat isu penyelarasan, kita perlu duduk bersama dan mencari penyelesaian.


“Matlamat kita adalah memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberikan manfaat kepada rakyat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.


Turut hadir tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ewon Benedick.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page