PEKERJA KILANG DAN PEMBINAAN CETUS EMPAT KLUSTER BAHARU DI SABAH HARI INI
- Wartawan Nabalu News
- Jul 10, 2021
- 2 min read

10 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Empat kluster direkodkan di Sabah hari ini melibatkan penularan di tempat kerja iaitu kilang papan, pembinaan, kilang pemprosesan kayu balak dan ladang pemprosesan ayam.
Kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster KKIP Empat Timur - Kota Kinabalu, Kluster Grandview - Sandakan, Putatan, Penampang, Kluster Balak Penangah - Tongod dan Kluster Jalan Membalua - Tawau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster KKIP Empat Timur - Kota Kinabalu merupakan penularan jangkitan yang berlaku di dua kilang papan iaitu di Jalan Tuaran, Telipok dan KKIP Industrial Zone.
“Kes indeks adalah lelaki, 51 yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah pada 06 Julai 2021.
“Daripada 185 sampel yang diambil dalam kalangan kontak rapat, terdapat sembilan kes baharu dicatat pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 10 kes, manakala 175 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, Kluster Grandview - Sandakan, Putatan, Penampang pula merupakan kluster tempat kerja di sebuah syarikat kontraktor pembinaan di Sandakan.
Katanya, kes indeks adalah lelaki, 22, yang disahkan positif ujian 100% RTK-Ag di Kota Kinabalu pada 28 Jun 2021, selepas bergejala demam, sakit badan, muntah-muntah dan cirit birit sejak 25 Jun 2021 dan kes ini didaftarkan di Putatan.
“Hasil saringan kontak rapat dan kontak sosial mendapati dua kes positif di Sandakan, namun didaftarkan di Putatan dan Penampang.
“Di Sandakan, daripada 54 orang yang dikenal pasti, 13 orang dikesan positif termasuk satu kes baru hari ini menjadikan jumlah terkini kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes.
“Sementara itu, 32 orang didapati negatif dan sembilan orang masih menunggu keputusan saringan,” katanya.
Beliau berkata, Kluster Balak Penangah - Tongod melibatkan jangkitan dalam kalangan pekerja kilang pemprosesan kayu balak di Mukim Penangah daerah Tongod.
Masidi berkata, kes indeks adalah lelaki, 47, pemandu jentera berat di syarikat terbabit. Kes relay dimasukkan ke Hospital Keningau pada 06 Julai 2021 kerana positif Malaria (PK) dan telah disahkan positif Covid-19 pada hari yang sama setelah menjalani saringan pra- kemasukan wad.
“Saringan kontak seterusnya mendapati 25 orang positif Covid-19 di tempat kerja. Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih giat dijalankan,” katanya.
Masidi berkata, Kluster Jalan Membalua - Tawau pula berlaku dalam komuniti di Mukim Balung, Tawau.
Katanya, kes indeks merupakan lelaki, 24, bukan warganegara disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Klinik Mayfair Tawau pada Julai 2021.
“Bekerja sebagai buruh kasar di ladang pemprosesan ayam dekat Jalan Membalua, kes indeks dan keluarganya tinggal bersama lebih 50 rakan sekerja termasuk ahli keluarga masing-masing dalam kuaters rumah pekerja ladang tersebut.
“Berikutan penemuan kes positif itu, saringan kontak rapat mendapati semua 12 ahli keluarga kes indeks didapati positif pada 08 Julai 2021, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 13 kes.
“Siasatan lanjut untuk pengesanan semua kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Comments