top of page

Pekerja Kontraktor Sabah Electricity Ditemui Selamat Selepas 17 Jam Hilang

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 1 min read


14 Mei 2025


PUTATAN: Seorang pekerja kontraktor pembersihan menara pencawang milik Sabah Electricity yang hilang di kawasan Rimba Hill Lokawi, sejak petang, semalam, ditemui selamat, hari ini.


Mangsa berusia 48 tahun itu dilaporkan ditemui dalam keadaan lemah kira-kira 265 meter dari lokasi kerja pembersihan di Menara 11, pada jam 9.56 pagi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa dimulakan pada jam 6 pagi tadi bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Sabah Electricity.



Katanya, pasukan operasi kemudiannya menerima maklumat daripada kontraktor Sabah Electricity bahawa mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat namun fizikalnya lemah.


“Mangsa difahamkan tergelincir sebelum terjatuh semasa keluar dari kawasan berkenaan selepas membuat kerja-kerja pembersihan di menara pencawang berkenaan.


“Pasukan operasi bersama agensi lain bertindak membawa turun mangsa dan seterusnya diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke hospital menggunakan Ambulans bulan sabit merah bagi mendapatkan rawatan lanjut.


“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.30 petang,” katanya.


Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam, mangsa dikatakan masuk ke kawasan pencawang sejauh 500 meter dari jalan utama untuk kerja-kerja pembersihan.


Bagaimanapun, semasa balik ke lokasi asal, dua rakannya yang berada di depan mendapati mangsa hilang dan tidak keluar dari kawasan hutan sehingga jam 3.30 petang.


Selepas usaha mengesan mangsa gagal, kedua-dua rakannya terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page