Pekerja ladang sawit maut ditikam rakan sekerja
- nabalunews
- Feb 2
- 2 min read

1 Februari 2025
PAPAR: Seorang pekerja ladang kelapa sawit maut selepas ditikam rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar, Bongawan, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, insiden dikatakan berpunca daripada duit sebanyak RM20 yang diberikan kepada suspek untuk membantu isteri mangsa membeli ikan dan roti.
Bagaimanapun, suspek berusia 26 tahun itu dikatakan tidak membeli barangan itu atas alasan kedai tutup selain tidak mengembalikan wang tunai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa warga Filipina yang berusia 37 tahun dikatakan bertanyakan kepada suspek mengenai wang berkenaan.
Bagaimanapun katanya, berlaku pertengkaran mulut antara mereka apabila suspek tidak mengaku dan tidak mahu memulangkan wang berkenaan.
“Suspek yang berang kemudiannya bertindak mengambil pisau di dalam rumahnya sebelum menyerang dan menikam mangsa berkali-kali.
“Akibat kejadian berkenaan, mangsa rebah dan meninggal dunia di tanah lapang di hadapan rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat, satu operasi memburu suspek membabitkan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah dan pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Balai Polis Papar dilancarkan.
Katanya, suspek warga Indonesia itu akhirnya berjaya ditahan dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat.
“Turut ditahan dua lelaki dua wanita dewasa warga Indonesia dan Filipina berusia 20 hingga 60 tahun untuk membantu siasatan lanjut.
“Polis turut merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan suspek dan semua tangkapan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Desmond A/L Tanggapan di talian 019-4883322.
Comentários