top of page

Pelaburan Oracle Cerminkan Keyakinan Syarikat Teknologi Global Terhadap Malaysia - PM Anwar

nabalunews

2 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Keputusan pelaburan oleh Oracle merupakan manifestasi keyakinan dan komitmen berterusan syarikat global terhadap potensi besar Malaysia sebagai hab strategik bagi infrastruktur awan, serta pendorong utama kepada pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di peringkat serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau menegaskan bahawa pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama kepada teknologi digital terkini, tetapi juga sebagai pemangkin penting dalam memacu inovasi dan daya saing di rantau ini, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital di Asia Tenggara.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyambut baik pengumuman Oracle, terkait pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan bernilai US$6.5 bilion (US$1=RM4.15).


“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan MADANI telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.


“Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai US$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” kata beliau menerusi hantaran di platform X pada Rabu.


Beliau berkata penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.


“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.


“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi MADANI akan dapat dicapai, Insya-Allah,” kata beliau.


Terdahulu hari ini, Oracle menjelaskan pusat awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).


Pusat awan awam yang dirancang itu akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan penggunaan mereka, memindahkan semua jenis beban kerja kepada awan, dan berinovasi dengan data, analitik dan AI, tambah firma teknologi komputer itu.

Bình luận


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page