Pelajar IPT Sabah teruja kembali ke kampus Pelajar IPT Sabah teruja kembali ke kampus
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelajar IPT Sabah teruja kembali ke kampus


18 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Setelah sekian lama mengikuti pembelajaran secara maya, akhirnya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat-peringkat sejak Jumaat lalu (15 Oktober).


Kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News teruja kembali ke kampus untuk meneruskan pembelajaran seperti biasa dalam norma baharu.


Najati Ramaidi, 21, pelajar tahun satu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik dan bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang membenarkan pelajar kembali ke kampus secara berfasa.

Najati

“Saya berasa agak lega selepas pihak KPT mengarahkan pelajar balik ke kampus kerana sudah lama kami tidak kembali ke kampus. Namun, saya masih berasa sedikit risau kerana risiko yang akan dihadapi oleh para pelajar terdedah kepada virus Covid-19 adalah tinggi.


“Justeru itu, pada pendapat saya semua pelajar harus divaksin untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. Adalah tidak adil sekiranya pelajar yang tidak divaksin dibenarkan untuk mengikuti aktiviti fizikal dengan pelajar lain,” katanya.


Menurut pelajar jurusan Tesl itu, pengalaman tinggal di kampus semester lepas cukup mencabar terutamanya dari segi mental.


“Pada semester lepas kami diarahkan untuk kekal berada di kampus. Justeru, aktiviti fizikal yang dapat dijalankan oleh para pelajar adalah terbatas dan ini menyebabkan kebanyakan pelajar berasa murung dan tertekan.


“Meskipun begitu, pihak universiti sangat menitikberatkan hal kebajikan pelajar sepanjang berada di kampus, seperti memberi bantuan makanan kepada pelajar yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.


Najati berkata, antara bebanan pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di semenanjung adalah dari segi kos penerbangan.


“Kos penerbangan yang mahal menyebabkan ramai pelajar berasa berat hati untuk kembali ke kampus,” katanya.

Elly

Elly Rozita Yasin, 21, pelajar tahun satu di UPSI berkata, dia tidak sabar untuk merasakan pengalaman kampus yang sebenar seperti pembelajaran bersemuka dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti di kampus.


“Sejujurnya saya berasa gementar untuk menghadiri kelas secara bersemuka, namun saya tidak sabar untuk merasakan kehidupan sebagai pelajar universiti yang sebenar kerana sebelum ini kami hanya mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).


“Selain itu, PdPR begitu mencabar, kerana agak susah berkomunikasi dengan pensyarah terutamanya apabila talian internet tidak kuat. Kadangkala susah untuk membuat kerja kursus berkumpulan kerana ada rakan yang tidak kuat talian internet,” katanya.


Mengenai tiket penerbangan, Elly berkata: “Tiket penerbangan agak mahal, oleh itu apa-apa arahan sama ada menyuruh pelajar kembali ke kampus atau pulang ke rumah masing-masing hendaklah diberitahu awal agar pelajar dapat menyediakan bajet untuk membeli tiket kapal”.


“Harga tiket untuk ke Kuala Lumpur sahaja boleh mencecah hingga RM300. Sekiranya bas dari UPSI tidak ada untuk mengambil pelajar dari KLIA, kami terpaksa membayar tambang kereta dari KLIA ke kampus sebanyak RM180.


“Ekoran itu, terdapat kawan-kawan saya dari Sabah tidak balik ke kampung halaman semasa cuti semester kerana ingin menjimatkan perbelanjaan wang,” katanya.

Siti

Bagaimanapun bagi Siti Nur Ain Ramli, 21, pelajar UPSI berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk pelajar kembali ke kampus.


“Kemasukan pelajar ke IPT pada waktu ini belum lagi sesuai, sebab negara masih lagi di fasa pemulihan. Bagi saya belum sesuai untuk pelajar berkumpul secara beramai-ramai dalam universiti,” katanya.


Tambahnya, pelajar yang belum divaksin atau belum bersedia divaksin sebaiknya tidak dibenarkan masuk kembali ke kampus sebagai langkah keselamatan.


“Ini kerana walaupun seseorang itu sudah divaksin, dia masih berisiko dijangkiti virus Covid-19 dan menjangkiti orang lain. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, pelajar yang belum divaksin itu tidak dibenarkan ke kampus sehingglah dia sudah lengkap vaksin.


Pelajar jurusan Sastera itu berkata, “Kos kembali ke kampus agak membebankan bukan sahaja kos penerbangan tetapi kos perjalanan untuk ke kampus, makan, serta pelajar dari Sabah dan Sarawak juga perlu melakukan swab test sebelum ke semenanjung. Jadi banyak duit yang perlu digunakan,” jelasnya.


Bagi Adam Fabian Evaristus, 18, yang akan melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML), dia mengakui mungkin akan mengalami sedikit kejutan budaya kerana ini adalah kali pertama meninggalkan ahli keluarga dan kawan-kawan untuk melanjutkan pengajian di tempat lain.


“Sudah tentu kejutan budaya itu akan ada, namun saya tidak sabar untuk bertemu dengan pelajar-pelajar lain dan pensyarah serta menghadiri kelas secara bersemuka kerana sudah setahun lebih saya menghadap skrin laptop untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


“Antara cabaran yang saya hadapi sepanjang mengikuti pembelajaran kelas online adalah kekurangan bahan pembelajaran dan suasana pembelajaran yang tidak selesa.


“Dengan persekitaran yang baru, sudah pasti kami perlu membiasakan diri walaupun adakalanya perasaan rindu terhadap keluarga dan rakan-rakan yang lain akan timbul,” katanya.


Pelajar jurusan Sains Fizikal itu berpendapat bahawa pelajar perlu menerima vaksin sebelum kembali ke kampus demi keselamatan dan kesihatan orang sekeliling.


“Bagi pelajar yang tidak ingin divaksin atau belum divaksin, mereka perlu sedar bahawa pada akhirnya mereka perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan kerana jika mereka tidak mengikutinya, mereka terpaksa menanggung akibat.


“Saya berharap mereka akan sedar betapa pentingnya vaksin ini dari sudut sains untuk membenteras virus ini daripada merebak,” tambahnya lagi.


Adam berkata kos penerbangan pada masa kini agak tinggi dan membebankan pelajar Sabah dan Sarawak yang ingin kembali ke kampus mereka di Sememanunjung, terutama bagi mereka yang berasal daripada keluarga susah.


“Walaupun kampus saya bukan di Semenanjung, tetapi kos ke Labuan sudah mencecah hampir RM200. Saya rasa pihak IPT perlu memain peranan dalam hal ini agar dapat membantu pelajar susah,” katanya.


Seorang lagi pelajar daripada KML, Akhmal Youness Bugo berkata, dia gembira dan teruja untuk kembali ke kampus kerana ingin merasai persekitaran baharu serta berkenalan dengan rakan baharu.


Ini kerana, dia sudah bosan setelah sekian lama mengikuti kelas online kerana fokusnya sering kali terganggu.


Namun demikian, dia membawa harapan tinggi dalam perjalanan hidup barunya ini iaitu ingin cemerlang dengan pelajaran serta mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.


Akhmal berkata, jika ini dapat dicapai, dia dapat mengurangkan beban keluarganya.


Manakala, Alexandre Narbert yang akan melanjutkan pelajaran di Kolej MARA Banting, Selangor berkata dia berasa sedih kerana perlu meninggalkan tempat tinggalnya setelah sekian lama ‘stay at home’.


Namun, pengalaman pahit mengikuti PdPR membuatkannya teruja untuk ke kampus kerana untuk belajar secara fizikal.


“Antara cabaran yang saya hadapi semasa belajar online adalah kurang fokus, pembelajaran kurang berkesan kerana tidak mempunyai tempat kondusif dan sesuai dan capaian internet yang kurang memuaskan.


“Selain itu, penglihatan LCD terlalu lama juga telah mengurangkan daya penglihatan mata saya dan telah menyebabkan saya mula memakai cermin mata ‘blue light filter’,” katanya.


“Saya berharap lebih fokus dalam pelajaran ketika di kampus kelak, serta dapat berbincang bersama rakan-rakan dengan lebih efektif dalam kerja berkumpulan. Saya juga mahu belajar untuk mengadaptasi diri di tempat baharu dengan mengikuti SOP,” katanya.


Bagi Alexandre, kemasukan pelajar IPT ke kampus pada waktu ini adalah wajar kerana vaksinasi kalangan individu dewasa dan remaja di Malaysia sudah mencapai kadar yang tinggi.


“Ramai pelajar yang berumur 18 tahun ke atas telah divaksin dan kini mereka lebih imun dari jangkitan Covid-19. Selain itu, IPT juga mempunyai peraturan SOP yang ketat agar penularan Covid-19 dapat dikurangkan dalam kampus.


“Bagi pelajar yang belum divaksin atau tidak mahu divaksin, mereka akan dibawa oleh kenderaan IPT ke Pusat Penerimaan Vaksinasi (PPV) terdekat untuk mendapatkan vaksin sebelum memasuki kampus.


“Pelajar juga mesti mengikuti SOP yang ketat dan sentiasa memakai pelitup muka ketika bergerak di dalam kampus,” katanya.

bottom of page