Pelajar Kudat cipta inovasi STEM berasaskan budaya, masalah harian
top of page
  • nabalunews

Pelajar Kudat cipta inovasi STEM berasaskan budaya, masalah harian


Matius (dua kiri) menemani Muddin (tiga kiri) untuk menyampaikan sijil pengiktirafan kepada salah satu pempamer semasa program itu.

18 Ogos 2023 Oleh Ilona Andrew


KUDAT: Program STEM Fiesta yang berlangsung dari 17 Julai hingga 18 Ogos telah menampilkan kemahiran dan kreativiti pelajar di Kudat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).


Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat Matius Alok berkata, pelajar-pelajar ini bukan sahaja dapat memahami dan mengaplikasikan konsep sains dalam penyelesaian masalah, tetapi juga dapat menggabungkan unsur-unsur budaya dalam hasil kerja mereka.


Salah satu inovasi berunsurkan budaya dalam penggunaan teknologi adalah pembuatan Sudampai (sash) dan gubahan manik Pinakol yang merupakan produk budaya masyarakat tempatan Rungus di Kudat.


“Asalnya pembuatan ini bukan dari kalangan pelajar atau sekolah tapi kini mereka sudah boleh jadi penggerak untuk sudut budaya melalui sains dan teknologi.

“Projek ini menunjukkan bagaimana STEM dapat mempromosikan budaya melalui teknologi,” katanya.

Pinakol ... Salah satu inovasi berunsurkan budaya yang dipamerkan semasa program itu.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutupan STEM Fiesta yang diadakan di Dewan Hakka, di sini, pada Jumaat.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Muddin Beting.


Menurut Matius, pihak PPD Kudat juga merasa bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar di daerah ini yang telah menunjukkan bakat dan potensi dalam STEM.


“Sebagai tuan rumah kepada penganjuran di peringkat PPD Kudat, kami merasa bangga kerana kita lihat daripada semua pihak sekolah yang buat pameran, mereka telah menunjukkan bagaimana konsep sains ini diterjemahkan dalam mengatasi persoalan yang mereka ada di sekolah.


“Pameran ini bukan berkonsepkan di luar dari permasalahan mereka, tetapi usaha yang didasarkan kepada keperluan lapangan di mana mereka menyahut cabaran untuk menyelesaikan permasalahan dalam bentuk sains,” jelasnya.

“Kami berharap festival ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk menyertai program STEM yang akan datang,” tambahnya.


Program ini bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan pelajar untuk mengejar kerjaya STEM dan menyumbang kepada pembangunan Sabah dan Malaysia. Ia juga berhasrat untuk menumbuhkan budaya inovasi dan kerjasama di kalangan pelajar, guru, sekolah, dan komuniti.


Program yang melibatkan 16 buah sekolah di daerah ini adalah anjuran bersama PPD Kudat, JPNS, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page