Pelaksanaan darurat gagal: EwonPelaksanaan darurat gagal: Ewon
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Pelaksanaan darurat gagal: Ewon


1 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan Darurat oleh kerajaan PN untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 ternyata gagal.


Beliau berkata, ini kerana jumlah kumulatif kes Covid-19 pada 10 Januari 2021, sehari sebelum tarikh kuatkuasa Darurat ialah 135,992; bilangan kes aktif 27,332; jumlah kumulatif kematian 551 dan kes baharu yang direkodkan pada hari itu ialah 2,433.


“Pada 26 Julai 2021, semasa kerajaan PN mengumumkan di Parlimen penamatan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia meningkat sehingga mencecah lebih satu juta kes.


“Jumlah kumulatif kes Covid-19 ialah 1,027,954; bilangan kes aktif 165,840; jumlah kumulatif kematian 8,201 dan kes baharu yang direkodkan pada hari itu ialah 14,516.


“Maka bagi menjawab soalan sama ada Darurat telah mencapai tujuannya, jawapannya tidak. Kerajaan PN telah gagal,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Darurat tidak perlu dikuatkuaskan di seluruh negara jika tujuannya untuk mengekang pandemik Covid-19 kerana Akta 342 / Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudahpun mencukupi untuk melaksanakan perintah-perintah berkaitan pengekangan penularan Covid-19.


Beliau turut mempersoalkan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah ditubuhkan.


“Nyata sekali urustadbir berkaitan proklamasi dan ordinan Darurat ini telah menyerlahkan kelemahan dan kepincangan kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PN,” katanya.


Ewon berkata, sebaiknya Muhyiddin perlu berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada seseorang yang mempunyai "leadership".


Beliau berkata, dalam situasi ini, Kerajaan Negeri Sabah harus menyatakan pendirian dan "political will" berasaskan kepada semangat autonomi dalam berautoriti.


“Ini bukan lagi soal politik. Ini soal krisis perlembagaan ~ perlanggaran Perlembagaan Persekutuan dan perlanggaran titah YDPA. Tegurlah Muhyiddin walaupun beliau adalah bos anda,” katanya.

bottom of page