top of page

Pelaksanaan inisiatif papar harga ubat akan diteruskan

  • nabalunews
  • Aug 3, 2025
  • 2 min read

3 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Pelaksanaan inisiatif pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti akan diteruskan secara berperingkat bermula 1 Ogos.


Inisiatif berkenaan mula dilaksanakan pada 1 Mei lalu melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025], di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].


Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan bersama memaklumkan, pendekatan penguatkuasaan pendidikan inisiatif itu telah dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini yang berakhir 31 Julai lalu.


Katanya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 842 buah fasiliti terdiri daripada klinik perubatan, klinik pergigian dan hospital swasta serta farmasi komuniti telah diperiksa.


“Daripada jumlah tersebut, majoriti telah melaksanakan inisiatif ini dengan sebanyak 57 peratus, menunjukkan tahap pematuhan terhadap keperluan pemaparan harga ubat yang memuaskan,” menurut kenyataan itu.


Justeru katanya, bermula 1 Ogos 2025, penguatkuasaan perintah tersebut akan diteruskan secara berperingkat.


“Penguatkuasaan pendidikan diteruskan melalui lawatan pemeriksaan dan advokasi bagi tempoh 2 bulan sehingga 30 September 2025.


“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, surat peringatan boleh dikeluarkan kepada fasiliti yang terlibat.


"Mulai 1 Oktober 2025, kompaun boleh dikeluarkan bagi kesalahan yang berulang, dengan penguatkuasaan penuh mulai 1 Januari 2026,” katanya.


Sementara itu, KKM dan KPDN turut mengambil maklum mengenai laporan berhubung tindakan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan mewakili pengamal perubatan dan pergigian serta seorang pengamal perubatan swasta, berkaitan keabsahan perintah tersebut.


Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang perintah mahkamah yang mengarahkan penangguhan terhadap pelaksanaan atau penguatkuasaan perintah berkenaan, justeru ia kekal sah dan berkuat kuasa.


“KKM dan KPDN kekal komited untuk melaksanakan inisiatif ini secara inklusif, berfasa dan berhemah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna serta menyumbang kepada peningkatan ketelusan, akauntabiliti dan kepercayaan dalam sistem kesihatan negara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page