Pelaksanaan semula caj RM1 di ATM, terima pelbagai reaksiPelaksanaan semula caj RM1 di ATM, terima pelbagai reaksi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelaksanaan semula caj RM1 di ATM, terima pelbagai reaksi


Gambar Hiasan

16 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pengumuman beberapa bank tempatan menerusi media sosial bahawa caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan dikenakan semula kepada pelanggan berkuatkuasa 1 Februari tahun depan, mendapat pelbagai reaksi orang ramai.


Berdasarkan tinjauan Nabalu News hari ini, rata-rata mereka mengatakan pengumuman itu adalah perkara biasa dan tidak seharusnya dijadikan isu namun tidak kurang juga netizen yang mengecam pelaksanaan semula caj transaksi itu.


Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sbah (UMS) Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, transaksi antara bank memang dikenakan caj RM1 sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dr Lee Kuok Tiung

“Apa yang diumumkan itu adalah perkara biasa … kira kembali kepada amalan asal sebelum caj itu dikecualikan semasa PKP tahun lalu.


“Ini adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya dijadikan isu oleh sesetengah pihak sebab RM1 itu jauh lebih menjimatkan dan menguntungkan daripada masa dan kos untuk mencari mesin ATM bank mereka,” katanya.


Sementara itu, Jim Hozier berkata, pelaksanaan semula caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin ATM mungkin salah satu keperluan yang sedikit sebanyak dapat bantu menampung kerugian bank sepanjang PKP.


Namun, beliau berpendapat bahawa pelaksanaan semula caj RM1 pada Februari tahun depan sepatutnya ditangguh ke satu masa yang lebih sesuai.


“Sekarang ini kita sudah memasuki fasa pemulihan dan aktiviti ekonomi pun sudah mulai rancak, tapi mungkin kerajaan boleh tangguhkan buat sementara waktu kerana masih ramai individu yang terjejas pendapatan buat masa ini.


“Walaupun RM1 itu tidak sebanyak mana, tetapi impak akan dirasai oleh rakyat yang betul-betul susah. Bagi saya, tangguhkan dahulu pelaksanaan ini sehingga tahun 2023,” katanya.


Bagi Michole Makjin, walaupun bersetuju dengan pelaksanaan semula caj transaksi itu, dia berpendapat bahawa jumlah itu mungkin boleh dikurangkan ke 50 sen.


“Bukan setiap ATM bank ada di setiap daerah, orang kampung terpaksa bergerak ke daerah lain hanya ingin mengelak caj RM1.


“Sebaiknya, kurangkan harga caj itu ke 50 sen agar beban tidak terlalu berat ke atas rakyat, terutamanya mereka yang betul-betul terjejas dengan pandemic,” katanya.


Menurut seorang pelajar Phd UMS, Chong Vun Hung dia tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ia tidak munasabah dalam keadaan ekonomi sekarang yang belum stabil.


"Saya kurang setuju. Tiada sebab yang jelas untuk mengenakan caj itu.

"Bank masih boleh mencatat keuntungan walaupun moratorium sepanjang pandemik lalu. Jadi, bank tiada sebab untuk mengenakan caj semula melainkan bank mengalami kerugian kalau tidak kenakan caj itu semula," katanya.


Seorang lagi pelajar UMS, Mohd Haziq Ikhsan bersetuju dengan Chong bahawa penguatkuasaan semula caj transaksi RM1 antara bank pada masa kini kurang sesuai dengan situasi ekonomi sekarang yang belum pulih sepenuhnya.

Mohd Haziq Ikhsan

"Situasi kemelesetan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia pasca pendemik masih belum pulih sepenuhnya. Justeru, pelaksanaan caj sebegini menambah beban kewangan masyarakat khususnya di bandaraya seperti Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching serta kawasan pedalaman seperti di Mukah, Tongod dan Bantul.


"Perbankan digital merupakan tanggungjawab pihak bank dan tuntutan yang bersifat global. Bagi saya adalah tidak wajar pengguna dikenakan caj atas suatu sistem yang sememangnya menjadi tanggungjawab pihak bank.


"Tanpa mengenakan caj tersebut, pihak bank atau pemain ekonomi kekal memperoleh untung melalui penawaran khidmat pinjaman kewangan serta insurans," katanya.


Sementara itu Jegathisan A/L Sivanesan, pelajar jurusan Multimedia Technology dari UMS, juga tidak bersetuju dengan pelaksanaan semula caj tersebut kerana ianya menyusahkan ramai orang apatah lagi ketika era pandemik.

Jegathisan A/L Sivanesan

“Sepanjang tempoh di mana yuran itu diketepikan, saya telah membiasakan diri untuk mengeluarkan jumlah tunai yang lebih kecil dalam beberapa transaksi, berbanding dengan mengeluarkan jumlah yang besar dalam satu transaksi,” katanya


Beliau menjelaskan bahawa pada ketika ini beliau tidak selesa membawa sejumlah wang yang banyak dalam satu masa kerana faktor risiko ianya dicuri atau hilang.


“Bagi saya, pelaksanaan semula caj itu akan meningkatkan lagi risiko keselamatan kerana orang ramai lebih berkemungkinan mengeluarkan sejumlah besar wang dalam satu transaksi.


“Ini bagi mengelakkan mereka daripada membayar caj berkenaan kerana caj tersebut akan bertambah dari masa ke semasa, terutamanya jika seseorang itu kerap mengeluarkan wang dari ATM,” katanya.


Beberapa bank termasuk Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC telah memuat naik notis berkenaan di platform media sosial kelmarin.


Berdasarkan makluman di media sosial, Maybank menyatakan bahawa mulai 1 Februari 2022, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.


Menurut CIMB, "Pelanggan yang dihormati, berkuat kuasa pada 1 Februari 2022, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi yang dilakukan di ATM/mesin layan diri bukan CIMB Bank/CIMB Islamic."


Bank Islam dalam notis makluman menyatakan, "Bagi pemegang kad Bank Islam, tiada caj dikenakan untuk pengeluaran menggunakan ATM Bank Islam."


Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020 bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa PKP tanpa perlu dikenakan caj RM1.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page