Pelan Induk KK 2030 siap pada Jun, fokus pada cabaran iklim dan kelestarian alam sekitar

24 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pelan KK 2030, atau Pelan Induk Bandaraya Kota Kinabalu 2023-2030, dijadualkan akan siap pada bulan Jun tahun ini, kata Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Noorliza Awang Alip.
Menurut Noorliza, pelan tersebut bertujuan untuk menyatukan pelan tindakan yang sedia ada agar menjadi rujukan semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ibu negeri ini.
Dalam mendepani perubahan iklim semakin tidak menentu, Bandaraya KK perlu menjadi lebih agresif dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengadaptasi kesan perubahan iklim yang menjadi komponen penting dalam Pelan KK 2030.
“Ini termasuklah menyediakan dan mendokumentasikan Carbon Footprint Bandaraya Kota Kinabalu dengan lebih sistematik selaras dengan Sustainable Development Goals 2030.
“Bandaraya ini perlu dibangunkan secara seimbang, mencakupi elemen inklusiviti iaitu setiap idea pembangunan perlu dirancang dengan teratur agar tidak bercanggah dengan aspek keselamatan, keseimbangan ekosistem, mahupun perkara-perkara yang mampu membantutkan pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sesi Libat Urus Siri 1 Kerangka Pelan Induk KK 2023 – 2030 di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, terdapat enam agenda utama dalam kerangka induk Pelan KK 2030, antaranya penyediaan prasarana awam, kelestarian alam sekitar, kemakmuran sosio-ekonomi, bandar pintar, transformasi digital dan industri, keterangkuman seni dan budaya serta kecemerlangan tadbir urus.
Noorliza menjelaskan bahawa terdapat lebih 70 pemegang taruh terlibat secara langsung dalam perancangan pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu dan beliau berharap intipati Pelan KK 2030 kelak akan menjadi sesuatu yang absah, berdaya laksana dan realistik memenuhi ekspektasi masyarakat.
Beberapa Sesi Libat Urus serupa dijangka akan diadakan lagi untuk memperincikan dan merealisasikan penyediaan serta pelaksanaan Pelan KK 2030.
Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie, dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Pembangunan), Abdul Manaf Rajikan turut hadir pada majlis tersebut.
Comentários