top of page

Pelan Pembangunan Penampang jadi rujukan menyusuli isu-isu berkaitan keperluan Penampang - Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • May 23, 2024
  • 5 min read



23 Mei 2024.

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Pembangunan Penampang menjadi rujukan kepadanya selaku Ahli Parlimen Penampang untuk menyusuli isu-isu berkaitan keperluan dan kepentingan daerah Penampang.


Beliau berkata, ini termasuk projek pembangunan kemudahan asas dan infrastruktur utama, projek rakyat, tebatan banjir, isu pendidikan, kesihatan dan pertanian.


“Selain itu isu-isu lain khususnya dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13, pada 2026 serta rancangan pembangunan daerah Penampang pada masa akan datang.


"Kita dalam proses untuk menjayakan status Penampang kepada Majlis Perbandaran Penampang,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Penampang anjuran Pejabat Daerah Penampang di Buhavan Square di sini, semalam.


Menurut Ewon, Penampang memerlukan

satu pelan terancang bukan hanya untuk menjayakan visi menaik taraf Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran, tetapi juga dalam aspek pembangunan daerah yang bermula daripada tadbir urus pengurusan di peringkat kampung sehingga menjadikan Penampang sebagai satu bandaraya kedua selepas Kota Kinabalu.


Beliau percaya, visi dan misi ini boleh dilaksanakan dengan lancar menerusi kerjasama semua pemimpin dan anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat Penampang.


"Sebab itulah melalui Pelan Pembangunan Penampang, saya telah berbincang dengan beberapa rakan menteri untuk datang ke Penampang melihat isu-isu pembangunan yang boleh dimuktamadkan boleh dibawa dalam rancangan Kementerian masing-masing," katanya.


Ewon berkata, pada awal tahun ini, beliau telah membawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku menteri yang bertanggungjawab berkenaan isu-isu banjir untuk melawat projek tebatan banjir di Penampang.


Katanya, perkara berkaitan pelaksanaan fasa seterusnya projek tebatan banjir di Penampang dibincangkan dengan Ketua Menteri ketika itu.


Ewon berkata selepas ini beliau akan membawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk melihat isu-isu berkaitan kerajaan tempatan di Penampang


"Bukan hanya pembangunan infrastruktur yang kita perlukan, tetapi juga beberapa tadbir urus lain yang kita perlu bawa ke Penampang.


"Inilah pendekatan saya kerana kalau kita menjayakan dengan peruntukan Majlis Daerah sendiri dengan peruntukan wakil rakyat sendiri, tidak pernah akan cukup. Sebab itulah dengan adanya Pelan Pembangunan Penampang ini kita lebih mudah kerana sudah dikenalpasti isu dan cabarannya. Tinggal lagi inisiatif usaha strategik kita bagaimana menjayakan Pelan Pembangunan Penampang yang dihasilkan oleh kita semua," katanya.


Beliau berkata, pelbagai isu tertunggak atau projek tertangguh di Penampang dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Penampang,


"Isu tertunggak seperti Tamu Donggongon, pembinaan Klinik Kesihatan dan sebagainya, kita telah dimaklumkan secara tetap mengenai status serta isu yang menyebabkan ia lewat dilaksanakan.


"Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab saya adalah memastikan ia dapat dipercepatkan dan sepertimana yang anda lihat, projek tebatan banjir di Pekan Donggongon ini daripada Balai Bomba ke Kampung Hungab, telah tertunggak sejak sekian lama, namun pada hujung tahun lepas, barulah kita dapat melihat perubahan dan hari ini sedang berjalan lancar.


"Inilah hasil kekuatan, kerjasama dan perpaduan di antara pemimpin dan pentadbiran awam yang ada di daerah Penampang," katanya.


Menurut Ewon, dalam Pelan Pembangunan Penampang, pelancongan telah dikenalpasti sebagai potensi pembangunan daerah, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


"Sebab itu sebagai Kementerian yang bertanggungjawab kepada pembangunan usahawan dan koperasi, saya telah mengambil apa yang telah dikenalpasti dalam Pelan Pembangunan Penampang untuk dijadikan sebagai sebahagian program dan inisiatif Kementerian.


"Pada minggu lepas, saya telah melancarkan insentif khas untuk koperasi-koperasi pelancongan sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.


"Kita telah memulakan dengan peruntukan awal RM2 juta dan saya tahu ianya peruntukan yang sedikit tetapi ini adalah permulaannya. Permulaan itu bermula daripada Pelan Pembangunan Penampang,” katanya.


Menurut Ewon, beliau akan melancarkan insentif khas bagi koperasi-koperasi pelancongan di peringkat negeri Sabah pada 1 Jun.


Beliau berharap industri pelancongan di Penampang akan mendapat manfaat dengan syarat ianya harus digerakkan melalui koperasi pelancongan.


"Pada tahun hadapan, saya berhasrat untuk meningkatkan lagi bantuan dan insentif ini supaya lebih banyak produk pelancongan dapat dibangunkan di Penampang dan apatah lagi bila sampai masanya pada tahun 2026, Penampang harus berupaya untuk bersaing dengan Kota Kinabalu dan daerah-daerah lain di Sabah dalam konteks untuk pembangunan sektor pelancongan.


"Sebab itulah bukan hanya dengan peruntukan awal RM2 juta, kita juga menyediakan bantuan geran kepada koperasi-koperasi pelancongan sehingga maksimum RM300,000 di bawah bantuan pembangunan koperasi dan juga kita menyediakan tabung modal pusingan sehingga maksimum RM30 juta untuk 1 koperasi di bawah program pembangunan modal pusingan koperasi," katanya.


Ewon berkata adalah sesuatu yang merugikan sekiranya program ini tidak mendapat sambutan di kalangan penggiat dan pengusaha ataupun koperasi-koperasi pelancongan di Penampang itu sendiri.


Menurutnya dalam Pelan Pembangunan Penampang, beberapa kawasan di sini telah dikenalpasti utuk pelaksanaan Projek Tamu Desa.


Ewon berkata, antaranya Tamu Inobong, Tamu Babagon dan beberapa pusat perusahaan desa lain di daerah ini yang akan dibangunkan di bawah projek Tamu Desa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


“Tamu Desa adalah satu inisiatif baharu yang saya perkenalkan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang akan mula dilaksanakan tahun ini.


“Dalam Pelan Pembangunan Penampang, turut dinyatakan pembangunan keusahawanan termasuk penjaja dan peniaga kecil, sebab itu saya memulakan Projek Tamu Desa di kementerian.


“Antara yang mendapat manfaatnya adalah daerah ini, dimana kita telah mengenalpasti beberapa tamu untuk pelaksanaan Tamu Desa di daerah ini,” katanya.


Ewon berkata selain projek Tamu Desa, kementeriannya juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu khusus untuk rakyat Sabah.


“Ini termasuklah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu di bawah agensi Tekun Nasional, BEEP Plus yang dilaksanakan oleh SME Corp dan terbaru Program Jom Jejak Usahawan Koperasi (JEJAK) dibawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


“Saya mahu masyarakat daerah ini turut menikmati semua kemudahan atau inisiatif kementerian.


“Perkara-perkara lain yang berada di luar portfolio saya, tanggungjawab saya untuk membawa mereka (kementerian berkenaan) turun ke Penampang, mengadakan perbincangan dan sama-sama ‘membubut’ keperluan pembangunan lain di daerah ini,” katanya.


Baru-baru ini, Ewon mengumumkan sebanyak 38 tapak Tamu Desa telah dikenal pasti di seluruh Sabah untuk dinaik taraf bagi fasa pertama dengan dana sebanyak RM7 juta.


Program ini akan menyediakan atau menaik taraf ruang niaga dan pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif bagi memudahkan akses pemasaran produk jualan dengan lebih berkesan di tapak lokasi perniagaan.


Ewon berkata Penampang mempunyai aset sumber asli seperti tanah yang boleh dibangunkan menjadi penanaman padi sawah dan padi bukit.


Kementeriannya menyediakan pelbagai bantuan dan insentif membantu mereka yang bergiat dalam sektor pertanian.


"Kita juga menyediakan modal pusingan, peruntukan RM100 juta di bawah sektor agro makanan di bawah Kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang kita boleh salurkan kepada koperasi-koperasi pertanian, koperasi-koperasi petani sekiranya mereka mahu mendapatkan pembiayaan ini untuk menanam padi ataupun tanaman lain untuk menternak haiwan pedaging dan ikan dan sebagainya. Ini semua ada dalam kawalan kita.


"Dan saya ingin melihat Penampang mendapat limpahan manfaat ini dengan syarat pengusaha-pengusaha berkenaan menubuhkan koperasi ataupun perkumpulan," katanya.


Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Ewon berkata perayaan itu mesti dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kekuatan dan perpaduan khususnya di daerah Penampang.


"Inilah Kaamatan yang kita rindui, inilah Kaamatan yang kita mesti pertahankan yang berupaya mengumpul pemimpin-pemimpin di daerah ini dan semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum yang ada di daerah kita ni, lapisan umur yang ada datang berkumpul pada hari ini.


"Inilah kekuatan Kaamatan yang kita mesti raikan. Inilah Kaamatan yang melangkau keterjaminan makanan. Kita haruslah menggunakan kekuatan perpaduan kita ini sebagai satu aset untuk membangunkan daerah Penampang," katanya.


Turut hadir di majlis ini, ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang, Pengerusi SME Corp. Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Mojuntin, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Lasimbang, Pegawai Daerah Penampang yang juga pengerusi penganjur sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Penampang, Francis Chong, Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Clarence Bongkos Malakun, Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk John Ambrose, Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton, Ketua Daerah Penampang, OKK Charles Masuil serta ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan negeri.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page