Pelan SMJ 1.0 capai 100 peratus pelaksanaan
- nabalunews
- May 16
- 1 min read

16 Mei 2026
KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 mencatat pencapaian 100 peratus sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya dari 2021 hingga 2025.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan agenda pembangunan yang dirancang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Sabah.
Menurutnya, laporan penuh pencapaian SMJ 1.0 telah dibentangkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
“Pada masa sama kita turut membentangkan pelan SMJ 2.0 yang akan menjadi hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kami juga bertukar pandangan dengan Tun Musa mengenai pelan tersebut supaya hala tuju pembangunan yang dirangka lebih menjurus kepada kesejahteraan rakyat serta mampu melonjakkan ekonomi Sabah ke tahap lebih maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.
Rosmadi berkata, antara fokus utama SMJ 2.0 adalah memperkukuh pembangunan golongan belia dengan memanfaatkan potensi mereka sebagai pemangkin kemajuan negeri.
Katanya, kunjungan tersebut bukan sahaja bagi menyerahkan laporan penuh pencapaian SMJ 1.0, tetapi juga untuk mendapatkan pandangan serta nasihat Tun Musa berhubung pelaksanaan SMJ 2.0 agar pelan pembangunan itu dapat memberi impak positif kepada rakyat dan negeri Sabah.
Pelan Pembangunan SMJ 1.0 bagi tempoh 2021 hingga 2025 telah dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 29 Mac 2021, manakala Pelan Pembangunan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 dilancarkan pada 30 Januari 2026.















Comments