Pelan strategik semikonduktor negara dirangka tarik kemasukan pelaburan strategik
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelan strategik semikonduktor negara dirangka, tarik kemasukan pelaburan strategik


17 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu pelan strategik semikonduktor akan dirangka secara menyeluruh menerusi Kementerian, Perdagangan dan Industri (MITI).


Beliau berkata, tujuan utama pelan ini adalah untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik itu.


Jelas beliau, pelan ini bakal meliputi pakej insentif lebih menarik bagi menarik kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end dalam industri semikonduktor di Malaysia.


Keputusan ini diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 3 tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada pagi Selasa.


"Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 3 tahun 2024 yang antara lain meneliti kedudukan semasa dan prospek masa hadapan negara bagi industri semikonduktor termasuklah sokongan kepada pelbagai cadangan pengembangan yang telah diajukan kepada saya sebelum ini," katanya menerusi akaun Facebook beliau.


Tambah Anwar, mesyuarat telah memutuskan agar MITI untuk merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik ini.


Perdana Menteri menekankan pentingnya langkah ini dalam menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia.


Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa mesyuarat sama juga meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), dan bersetuju ia dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Perak.


"Ini merupakan titik tolak kepada usaha Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan pembangunan KIGIP, yang dilihat sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara sementelahan pengoperasiaan KIGIP akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050," ujarnya.



bottom of page