top of page

Pelan tindakan sementara dilaksana atasi kesesakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar - Ewon

  • nabalunews
  • 8 minutes ago
  • 3 min read

6 Februari 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Tindakan Sementara (Interim Solutions) akan dilaksanakan bagi menangani isu kesesakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.


Beliau berkata, kementeriannya telah mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian interim dan telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah pada 4 Februari 2026 baru-baru ini.


“Yang Amat Berhormat (Ketua Menteri) dan Ahli Jemaah Kabinet Sabah telah dimaklumkan mengenai isu kesesakan ini dan seterusnya bersetuju dengan cadangan-cadangan penyelesaian interim tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.


Ewon berkata, antara langkah utama yang akan dilaksanakan ialah penambahan container yard tambahan sementara melalui pewujudan satu kawasan baharu bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan dan pengendalian kontena. Kemudahan tersebut dijangka mula beroperasi pada hujung Mac 2026.


Selain itu, katanya kadar tarif baharu atau revised deterrent charges yang telah diputuskan sebelum ini akan dikuatkuasakan bagi menggalakkan pelepasan kontena dengan lebih pantas dan mengurangkan kesesakan di kawasan simpanan.


“Kerajaan Negeri juga akan memperketat penguatkuasaan terhadap kontena yang melebihi tempoh simpanan.


“Rekod menunjukkan sebanyak 120 kontena melebihi tempoh simpanan ditetapkan, termasuk 103 kontena yang telah mendapat pelepasan Jabatan Kastam tetapi masih berada di pelabuhan, malah ada yang melebihi tempoh satu tahun,” katanya.


Justeru, Seksyen 46, Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) 1981 akan dikuatkuasakan bagi membolehkan tindakan pelupusan atau lelongan dilaksanakan.


Katanya lagi, bagi meningkatkan kadar pusing ganti kontena, tempoh penyimpanan kontena secara percuma semasa musim puncak akan dikurangkan daripada lima hari kepada tiga hari.


Beliau berkata, dalam masa yang sama, semua syarikat pengangkutan diwajibkan menggunakan Vehicle Booking System (VBS) bagi menyusun pergerakan kenderaan secara lebih terkawal dan terancang tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada pengusaha.


Katanya, penyelarasan waktu operasi agensi kerajaan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar turut dilaksanakan melalui operasi lebih masa, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum, selaras dengan operasi pelabuhan yang beroperasi 24 jam sehari, bagi mempercepatkan proses taksiran serta pelepasan kargo.


Di samping itu, operator pelabuhan akan melaksanakan penaiktarafan jentera dan peralatan pengendalian kontena melalui penambahan aset dan sokongan operasi bagi meningkatkan kecekapan serta kapasiti pelabuhan.


Sebagai sokongan kepada kelancaran rantaian logistik, satu tapak parkir treler di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut dikenal pasti untuk digunakan, khususnya bagi menampung situasi kontena yang diangkut keluar selepas waktu pejabat apabila penerima tidak dapat menerima penghantaran di luar waktu operasi mereka.


Ewon berkata beliau akan memantau sendiri pelaksanaan pelan tindakan sementara ini serta meneruskan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pihak bertanggungjawab terhadap projek pembesaran Pelabuhan Teluk Sepanggar yang mengalami kelewatan.


Beliau menegaskan komitmennya untuk menawarkan kepimpinan dalam menangani isu kesesakan pelabuhan kerana ia memberi kesan besar kepada rantaian bekalan serta sektor perindustrian dan keusahawanan di Sabah, selain penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur.


“Selagi semua pihak memainkan peranan masing-masing dan meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan, isu ini boleh diselesaikan.


“Dalam tempoh 100 hari pertama saya di MINDET, pelan tindakan sementara ini dilaksanakan supaya fokus seterusnya dapat diberikan kepada isu-isu lain di bawah tanggungjawab kementerian,” katanya.


Beliau turut memaklumkan akan membuat lawatan seterusnya ke Pelabuhan Sandakan dan Pelabuhan Tawau sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menambah baik pengurusan pelabuhan di negeri ini.


Sebelum ini Ewon telah mengadakan pelbagai sesi libat urus serta turun padang ke pelabuhan itu bagi menilai sendiri pergerakan kontena bermula dari proses dilabuhkan dari kapal sehingga ke destinasi penerima.


“Kesesakan ini berpunca daripada peningkatan ketara aktiviti keluar masuk kontena di mana data menunjukkan sebanyak 398,000 TEU direkodkan bagi tahun 2025 sahaja, dan pelaksanaan projek perluasan Pelabuhan Teluk Sepanggar yang mengalami kelewatan,” katanya.


Beliau menjelaskan bahawa Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar pada asalnya direka khusus untuk pergerakan kontena dan bukan bagi operasi kenderaan roll-on roll-off (roro).


“Saya telah mengatakan semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan dalam mencari penyelesaian kepada isu kesesakan ini,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page