top of page

Pelancong China Dikhuatiri Hilang Di Pulau Mantanani

  • nabalunews
  • Oct 6
  • 1 min read

ree

6 Oktober 2025


KOTA BELUD: Sepasang pelancong warga China yang menginap di pusat peranginan di Pulau Mantanani, di sini, dikhuatiri hilang selepas gagal dikesan sejak semalam.


Kedua-dua mangsa berusia 25 serta 28 tahun itu dilaporkan sepatutnya mendaftar keluar dari Pulau Mantanani, semalam.


Bagaimanapun, sehingga kini masih belum dapat dikesan dan usaha mencari kedua-dua mangsa masih menemui jalan buntu.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.25 pagi.


Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) terus dikerah ke lokasi.


“Menurut pihak polis, dua orang pelancong warga China iaitu seorang lelaki dan wanita menginap di Sutera Mantanani pada Sabtu lalu.


“Kedua-dua mangsa sepatutnya daftar keluar daripada penginapan dan bergerak keluar daripada Pulau Mantanani pada Ahad, namun sehingga kini kedua mangsa masih belum dijumpai,” katanya pada kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, siasatan mendapati barang-barang kepunyaan kedua-dua mangsa masih berada di dalam bilik.


“Pasukan bomba bersama Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR).


“Operasi pencarian dilaksanakan menggunakan kaedah "Water Surface" di persisiran pulau bersama pasukan penyelamat dari agensi yang lain. Sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page