Pelancongan Tagal Tambulion Ulu bakal jadi tarikan utama pelancong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelancongan Tagal Tambulion Ulu bakal jadi tarikan utama pelancong


Boniface memberikan penerangan kepada Ewon mengenai perancangan pembangunan di kawasan Pelancongan Tagal Tambulion Ulu.

5 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pelancongan Tagal Tambulion Ulu dalam kawasan Kadamaian mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri dijangka menjadi tarikan utama pelancong apabila siap sepenuhnya.


Pengerusi Tagal Tambulion Ulu Boniface @ Doni Jiran berkata, pusat rekreasi itu mengetengahkan konsep Pelancongan Tagal bercirikan Taman Rekreasi Bombon dengan menggabungkan aktiviti pelancongan dan pemuliharaan ikan air tawar.


“Lima taman rekreasi yang mempunyai tema dan dekorasi berbeza akan diwujudkan di kawasan ini iaitu Taman Kebudayaan Komuniti, Taman Bombon, Taman ‘Taj Mahal’, Taman 'Bamboo Tree House' dan Taman Liwogu Ruggading.



“Kawasan ini seluas enam ekar lebih terletak di sepanjang Sungai Wariu kawasan Tambulion Ulu hingga ke sempadan Kg.Tambulion Laut, dimulakan sejak Jun lalu dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Fasa Pertama dijangka siap Ogos 2023,” katanya kepada Nabalu News.


Beliau berkata demikian selepas lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick ke kawasan itu Rabu lepas.


Dalam kunjungan itu Ewon menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,600 untuk pembelian tiang elektrik di kawasan itu seperti yang dipohon oleh ahli jawatankuasa pusat rekreasi.



Beliau juga bersetuju untuk menyumbangkan RM5,000 sebagai sokongan menjayakan Program Bombon Fund Run Challenges dan Hari Keluarga Jawatankuasa Tagal Tambulion Ulu.


Boniface berkata, sejak Jun lalu, komuniti berjaya menyiapkan projek pertama iaitu Papandat Pampang Ruggading (PPR) dan mula beroperasi untuk tujuan bergambar berlatarkan Gunung Kinabalu, Sungai Woriu, Sawah Padi dan Alam Sekitar.

“Taman Kebudayaan Komuniti Tambulion Ulu yang kini dalam pembinaan juga bersedia untuk site view (bergambar). Aktiviti menjinakkan ikan air tawar juga turut dijalankan seiring dengan pembangunan pondok-pondok berasaskan bambu. Yuran kemasukan ke Taman Kebudayaan Komuniti Tambulion Ulu hanya RM5,” katanya.



Antara kelainan pusat rekreasi itu dengan eko pelancongan lain di kawasan Kadamaian ialah Pelancongan Tagal Tambulion Ulu menawarkan lokasi rekreasi dan riadah bercirikan Taman.


“Contohnya, Taman Kebudayaan Komunti Tambulion Ulu. Kami berusaha menghidupkan kembali suasana kehidupan sewaktu nenek moyang kami, di mana sejarah Tambulion adalah lokasi persinggahan tombului (pelawat).


“Dalam taman kebudayaan ini, akan ada pondok galeri yang mempamerkan transisi kehidupan penduduk Kg.Tambulion Ulu sejak 60an atau sebelumnya.



“Selain itu pokok kayu jati yang tumbuh di tebing-tebing sungai sebagai tapak untuk pondok bambu atas pokok yang tidak terdapat di kampung lain juga antara keunikan kawasan ini,” katanya.


Boniface berkata, pelancongan Tagal Tambulion Ulu adalah produk bersifat komuniti yang pertama di kampung itu dan dimajukan bersama penduduk kampung.


“Semua penduduk kampung lebih kurang 1,300 orang terlibat dalam pembangunan eko pelancongan tagal ini,” katanya dan menambah idea untuk mewujudkan kawasan itu sebagai lokasi baharu pelancongan di Kadamaian khususnya Kg.Tambulion Ulu adalah daripada penduduk kampung itu sendiri.



Beliau berkata, idea itu kemudiannya dikembangkan melalui Jawatankuasa Tagal 2022 bersama-sama kepimpinan Ketua Kampung dan Badan JPKK, Persatuan Belia, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan komuniti Tambulion Ulu.


Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan dapat memberi sokongan penuh kepada usaha komuniti dalam mewujudkan perusahaan berasaskan komuniti.


“Kami berharap agar kerajaan dapat membantu komuniti dari segi peruntukan dana, memandangkan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh komuniti sememangnya tidak mempunyai peruntukan khas seperti jawatankuasa-jawatankuasa lain, misalnya KRT.


“Anggaran kos untuk membangunkan keseluruhan kawasan ini sebanyak RM500,000.



“Pelan Pembangunan yang dirangka dalam pembangunan Pelancongan Tagal Tambulion Ulu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat iaitu empat fasa,” katanya.


Beliau menambah, Jawatankuasa Tagal turut membuat beberapa kunjungan hormat ke pejabat-pejabat kerajaan yang berkaitan bagi tujuan memaklumkan dan memohon khidmat nasihat berkaitan aktiviti komuniti di sepanjang kawasan tagal Tambulion Ulu.


Beliau juga berharap dengan adanya pusat rekreasi bombon ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup komuniti melalui pembangunan perusahaan pelancongan berasaskan komuniti.



bottom of page