PELANJUTAN PKPD 6 LOKALITI DI SEMPORNA DAN 1 LOKALITI DI KUNAK
- Wartawan Nabalu News
- Oct 22, 2020
- 1 min read
Updated: Oct 25, 2020

22 OKTOBER 2020
KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak akan dilanjutkan sehingga 6 November ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di 6 lokaliti di Semporna iaitu Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bakau dan satu lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangkalan bermula 11 Oktober sehingga 24 Oktober.
“Bagaimanapun, setakat ini penilaian risiko yang dijalankan oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat penularan kes Covid-19 di kawasan tersebut.
“Sehubungan itu, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di lokaliti-lokaliti ini bermula 24 Oktober sehingga 6 November,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, sedikit kelonggaran akan diberikan terhadap aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.
“Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan berterusan dilakukan oleh pihak KKM dan bagi membendung penularan COVID-19 di lokaliti-lokaliti tersebut,” katanya.















Comments