top of page

Pelantikan 5 wakil usahawan India dalam agensi KUSKOP tingkat penyertaan keusahawanan - Ewon

Wartawan Nabalu News


26 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


GEORGE TOWN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan harapan agar penyertaan masyarakat India dalam gerakan keusahawanan dan koperasi akan bertambah baik dengan pelantikan wakil usahawan masyarakat itu dalam agensi-agensi di bawah kementeriannya.


Beliau berkata, wakil usahawan India dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di SME Corp Malaysia, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).


Katanya, pelantikan tersebut tidak pernah dibuat sebelum ini dan membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menghargai sumbangan dan peranan masyarakat India dalam proses tadbir urus negara.



“Selepas berbincang dengan Timbalan Menteri saya, Senator Saraswathy Kandasami, saya telah kemukakan senarai cadangan perlantikan kepada YAB Perdana Menteri dan kemudiannya beliau bersetuju dengan perlantikan-perlantikan ini.


“Justeru, bagi pihak Kerajaan, saya amat berharap agar perlantikan ini dapat menambahbaik penyertaan masyarakat India dalam gerakan keusahawanan dan koperasi di negara kita sepertimana harapan saya kepada semua kaum masyarakat di negara ini,” katanya.


Ewon menyatakan demikian dalam program ramah mesra dan dialog bersama usahawan India di Little India, di sini, kelmarin.



Perjumpaan tersebut dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (DPPIM).


Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Exco Kerajaan Negeri DS Rajoo dan YB Kumaran Krishnan.


Ewon turut menyatakan penambahbaikan dalam tadbir urus Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional, agensi di bawah kementeriannya.


Beliau berkata, kelulusan Kerajaan bagi membenarkan kouta 7500 pekerja asing bagi tiga sub sektor yang melibatkan penyertaan banyak usahawan masyarakat India iaitu tekstil, kedai emas dan kedai gunting.



“Pada 30 September ini, Kementerian juga akan mengadakan sesi dialog belanjawan 2024 bersama dengan pemain industri keusahawanan dan koperasi di kalangan masyarakat India bagi mendapatkan input-input berkenaan belanjawan 2024.


"Pendekatan ini diharap dapat menambahbaik kerjasama dan komunikasi di antara Kerajaan dengan pemegang taruh dalam sektor keusahawanan dan koperasi,” katanya.


Terdahulu Ewon mengadakan kunjungan di beberapa kedai di sekitar Littla India dan turut berkunjung ke pejabat DDPIM.

Comentarii


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page