Pelbagai pembiayaan keusahawanan khusus untuk wanita di KUSKOP: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelbagai pembiayaan keusahawanan khusus untuk wanita di KUSKOP: Ewon

27 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyediakan pelbagai pembiayaan keusahawanan khusus untuk golongan wanita.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara agensi itu ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang hampir kesemua pelanggan adalah wanita, program TekunNita di bawah TEKUN Nasional, Program Pemerkasaan Usahawan Wanita di bawah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).


“Selan itu skim pembiayaan BRPlus - iBizLady oleh Bank Rakyat dan program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh PERNAS dan banyak lagi program lain yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan wanita.


“Saya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan Wanita dan OKU di Kementerian untuk memperluaskan libat urus dengan golongan wanita terkait dengan aspirasi pembangunan keusahawanan.


“Oleh itu saya berharap Pertubuhan Pembangunan Wanita Desa (DESANITA) dapat memainkan peranan yang lebih progresif untuk membangunkan sektor keusahawanan di kalangan wanita di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun DESANITA dan Angkat Sumpah bagi ahli-ahli jawatankuasa tertinggi pertubuhan itu, di sini, semalam.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selain pembiayaan khusus untuk wanita, beliau juga telah memperkenalkan beberapa skim baharu yang boleh dipohon oleh wanita iaitu Skim Pembangunan Usahawan Tamu dan penaiktarafan gerai-gerai keusahawanan desa khusus untuk Sabah dan Sarawak.


“Dalam hal ini, Desanita mempunya peranan untuk membantu saya memberikan cadangan atau menyediakan satu modul latihan keusahawanan khusus yang boleh memberi manfaat kepada usahawan-usahawan wanita,” katanya.


Beliau berkata, peranan wanita amat penting bukan setakat mengurus keluarga tetapi juga dalam hal-hal kepimpinan dan pembangunan negara.


“Sebab itu saya telah melantik ramai wanita sebagai ahli lembaga pengarah di agensi-agensi kementerian saya sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan wanita.


“Kementerian saya mempunyai 10 agensi dan setiap agensi mempunyai wakil wanita, tiga daripadanya daripada Sabah iaitu Mary Jim, Rowindy Lawrence dan Mohini Sidom, kerana saya mahu penglibatan wanita Sabah menonjol dalam agensi-agensi terutamanya yang diletakkan di bawah kementerian saya,” katanya.


Ewon berkata, dalam satu tahun menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, semua agensi di bawah kementerian itu telah turun padang melaksanakan banyak program dan memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah.


“Rakan-takan kabinet ada yang melebalkan saya sebagai ‘menteri Sabah’ kerana semua agensi saya bawa ke Sabah tetapi kerana rakyat Sabah, saya berada di sini.


“Walaupun begitu saya perlu berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia dan saya juga telah mengatakan bahawa tanpa mengurangkan fokus sedia ada di kementerian di seluruh negara, saya mahu memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak. Saya telah melaksanakanya dengan baik,” katanya.

bottom of page