Pelukis Airbrush Jepun Abadikan Keindahan Budaya Sabah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

7 Februari 2026
KOTA KINABALU: Kunjungan yang pada awalnya bersifat santai berkembang menjadi projek seni selama enam bulan oleh pelukis ‘airbrush’ dari Jepun dengan hasil karya yang kini dipamerkan di Mari Mari Cultural Village (MMCV), Inanam.
Pelukis berusia 52 tahun yang mahu dikenali sebagai Yasu berkata, kunjungan pertamanya ke MMCV pada Mac tahun lalu telah meninggalkan kesan mendalam.
Katanya, ia sekali gus mendorongnya menghasilkan karya seni yang mencerminkan keunikan budaya Sabah.

“Saya pernah datang ke Kota Kinabalu beberapa kali, tetapi lawatan pertama saya ke MMCV ialah pada Mac tahun lalu.
“Saya mengagumi usaha pengurusan MMCV yang terus memelihara budaya ini dan memperkenalkannya kepada mereka yang tidak mengetahuinya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dia terkejut melihat kakitangan MMCV yang seronok bekerja di pusat pelancongan budaya berkenaan sehingga mendorongnya memasukkan wajah kakitangan ke dalam lukisan berkenaan.

Sekembalinya ke kampung halamannya di Tottori, Jepun, Yasu meneruskan projek tersebut dari jarak jauh dengan bantuan pasukan MMCV yang menyediakan gambar kakitangan serta Gunung Kinabalu.
Menurutnya, sebuah foto Gunung Kinabalu ketika matahari terbenam yang dibekal kepadanya menjadi inspirasi kepada penggunaan tona jingga dalam karya seni yang dihasilkan menggunakan teknik airbrush dan pensel di atas kotak kitar semula.
“Saya tahu matahari terbenam sangat indah di Kota Kinabalu. Begitu juga Gunung Kinabalu, yang merupakan simbol yang sangat besar.
“Saya juga meminati hidupan haiwan dan serangga kecil yang turut mempengaruhi elemen hidupan liar dalam lukisan kali ini.
Karya asal itu kini dipamerkan di pintu masuk kampung budaya berkenaan, manakala versi salinan digunakan sebagai latar belakang pentas persembahan.
Mengulas reaksi kakitangan apabila melihat lukisan itu buat pertama kali, Yasu berkata, reaksi mereka sangat gembira apabila melihat gambar ini buat kali pertama.
“Semua orang sangat terkejut dan gembira kerana ia kelihatan sangat nyata,” katanya.
MMCV terletak kira-kira 30 minit dari bandar Kota Kinabalu yang menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung melalui persembahan tarian tradisional, rumah etnik dan makanan tempatan.
Ia turut menerapkan sesi pengenalan aktiviti kebudayaan serta cerita rakyat yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Sabah.














