top of page

RM22.3 juta Untuk Perkasa Pekebun Kecil Risda Sabah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

7 Februari 2026


TENOM: Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah.


Peruntukkan itu akan disalurkan sepanjang tahun 2026 menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka secara menyeluruh.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, selain peruntukan peringkat negeri, RISDA Daerah Keningau turut menerima peruntukan berjumlah RM4.66 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil di daerah berkenaan.

“Peruntukan ini melibatkan bantuan bagi tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran, serta Program Pengembangan dan Perancangan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah bagi Tahun 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, di sini, hari ini.


Jamawi berkata, program berkenaan merupakan satu inisiatif murni Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA bagi memastikan komuniti desa, khususnya pekebun kecil, menerima maklumat terkini yang bermanfaat untuk meningkatkan pulangan dan menyokong pembangunan desa yang mampan.

“Program ini juga menjadi platform berimpak tinggi untuk mengangkat martabat komuniti desa ke tahap yang lebih membanggakan, selari dengan Aspirasi Desa MADANI,” katanya.


Menurutnya, komuniti pekebun kecil perlu terus diberi galakan dan sokongan melalui inisiatif baharu bagi mewujudkan peluang penambahan pendapatan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.


“Keadaan pasaran harga getah dunia ketika ini semakin mencabar, justeru usaha mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi tumpuan kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil,” katanya.


Mengulas cabaran sektor getah, Jamawi berkata, Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah matang atau sedia ditoreh di Sabah kini tidak lagi diusahakan.


“Keadaan ini menyumbang kepada trend penurunan pengeluaran getah asli negara yang bukan sahaja menjejaskan pendapatan pekebun kecil, malah memberi kesan kepada sumbangan sektor komoditi getah terhadap ekonomi negara,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, KKDW dan RISDA terus menjadikan usaha meningkatkan hasil dan produktiviti kebun sebagai agenda penting bagi memastikan pekebun kecil kekal berdaya saing.


Jamawi turut memaklumkan RISDA Negeri Sabah menerima peruntukan sebanyak RM1.5 juta khusus bagi meningkatkan produktiviti kebun getah pekebun kecil di negeri ini.


“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Pemulihan Getah Terbiar, Program Pengeluaran Hasil Getah Matang, Insentif Pengeluaran Hasil Getah (Lateks) serta penyediaan prasarana ladang,” katanya.


Beliau berkata, insentif pengeluaran lateks khususnya mampu memberikan pulangan lebih baik berbanding hasil skrap, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil.


Jamawi turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen KKDW dan RISDA dalam memperkasa komuniti desa, khususnya pekebun kecil getah di Sabah.


“Saya yakin Kerajaan Sabah akan terus menyokong apa jua pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk sektor komoditi getah,” katanya.


Beliau juga berharap Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan terus bekerjasama rapat dengan RISDA bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati sepenuhnya oleh warga Sabah.


Dalam pada itu, Jamawi menyeru semua pekebun kecil agar sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan RISDA serta LIGS bagi memastikan kebun getah diusahakan secara lebih produktif.


“Saya juga menggalakkan individu yang mempunyai tanah terbiar agar tampil mendapatkan maklumat dan panduan daripada agensi berkaitan supaya tanah tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.


Turut hadir, Pengerusi RISDA Negeri Sabah, Nor Afzami Isa; Pengarah KEMAS, Ahmad Fahhrul Azman Muhammad Radzi; Pengarah GIATMARA Negeri Sabah, Ts. Azizzudin A. Aziz; Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas; wakil Pegawai Daerah Tenom, Lusip Pitong serta pemimpin setempat.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page