Pemandu bas sekolah memandu di bawah pengaruh dadah dipenjara, didenda
- nabalunews
- Apr 10, 2025
- 2 min read

9 April 2025
TAWAU: Seorang pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Muliandi Surianshah, 37, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh dadah sehingga terlibat kemalangan dan menyebabkan kematian seorang remaja warga Pakistan, tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap tertuduh atas empat pertuduhan trafik.
Bagi tiga kesalahan lain yang dibaca secara berasingan iaitu tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan cukai jalan tamat tempoh, tertuduh dipenjarakan dua bulan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 Jalan Kalabakan sekitar jam 1.30 petang pada 14 Oktober lalu semasa dia memandu bas sekolah di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine.
Tertuduh kemudiannya terlibat kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal yang merupakan pemegang pasport Pakistan, Ajmali Khan Bakht Zamin Shah, 19.
Berdasarkan fakta kes, Muliandi dipercayai memandu dengan laju di jalan selekoh hingga hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan ketika sedang menuju ke Pekan Kalabakan dari arah Kilang Kalabakan, Batu 8 Kapilit.
Akibatnya, bas tertuduh melanggar motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh mangsa sehingga terperosok ke bawah tayar depan kanan bas dan terseret sejauh 51 meter serta meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hasil siasatan mendapati, punca kemalangan disebabkan tertuduh memandu dengan cara merbahaya dalam keadaan khayal sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan kematian kepada pengguna jalan raya.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) ; Seksyen 15 (1)(A) APJ 1987 (Akta 333/87); Sekysen 26 (1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan Seksyen 90 (1) APJ 1987 (Akta 333/87).
Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee menjalankan pendakwaan, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.


















Comments