top of page

IRAMA santuni 100 asnaf sekitar Sepanggar

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 1 min read

18 Mac 2026


KOTA KINABALU: Program Iftar Ramadan Madani (IRAMA) anjuran Pertubuhan Pembangunan Islam Sabah (IDEAS), Yayasan Taqwa dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyantuni 100 asnaf di sekitar Sepanggar.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud program berkenaan merupakan antara inisiatif bagi membantu golongan memerlukan selain mengukuhkan ukhuwah selaras dengan gagasan Malaysia Madani.


Menurut beliau, nilai ihsan sebagai teras Madani menuntut semua pihak berbuat kebaikan melebihi kebiasaan, termasuk turun padang menyelami kesusahan rakyat khususnya dalam kalangan asnaf.

“Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri komited memperhebat usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan menyalurkan bantuan bukan sahaja sebagai penyelesaian jangka pendek, tetapi turut membina ekosistem ekonomi mampan agar golongan rentan mampu berdikari.


“Kerajaan dan pimpinan negeri juga komited memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara,” katanya ketika merasmikan program itu di Masjid Al-A'la, Kampung Lokub, Sepanggar, di sini pada Isnin.


Pada majlis tersebut, Mustapha turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada penerima.


Beliau berkata Ramadan bukan sekadar bulan melipatgandakan amal, tetapi turut mendidik jiwa mengenai nilai integriti yang perlu diterapkan dalam tadbir urus kerajaan bagi membendung rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.


Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sabah Dr Baharudin Othman; Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Azman Sipan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS Mohd Ridhuwan Othman; Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Mohd Firdaus Saidin serta Pengerusi Masjid Al-A'la Sanin Lias.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page