Pemandu lori balak didenda RM15, 000 dan dipenjara
- nabalunews
- Feb 28
- 2 min read

27 Februari 2025
TAWAU: Seorang pemandu lori balak didenda RM15,000 dan dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tujuh kesalahan trafik.
Tertuduh, Tonny Chong, 37, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Don Stiwin Malanjum bagi semua kesalahan yang dilakukannya ketika memandu lori balak di Jalan Merotai Kalabakan sekitar jam 4.30 petang pada 19 Februari 2025.
Mahkamah mengenakan denda RM8,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan dipenjara satu bulan bermula hari ini kerana memandu tanpa kecermatan.
Tertuduh juga didenda RM1,000 atau satu bulan penjara, masing-masing bagi dua kesalahan memandu tanpa lesen dan memandu lori tanpa lesen vokasional.
Tonny turut didenda RM1,000 atau satu bulan penjara dan hilang kelayakan memohon lesen memandu selama 12 bulan bermula hari ini kerana memandu kenderaan tidak diliputi insuran.
Dia juga didenda RM1,000 atau satu bulan penjara kerana lesen kenderaan tamat tempoh dan dipenjara satu bulan bermula hari ini kerana membawa muatan dengan cara bahaya menyebabkan barang-barang jatuh di atas permukaan jalan raya.
Manakala, bagi kesalahan menggunakan kenderaan tanpa perakuan pemeriksaan (Puspakom), Tonny didenda RM3,000 atau enam bulan penjara, jika gagal bayar.
Tujuh pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87), Seksyen 26 (1) APJ 1987 (Akta 333/87), Seksyen 56 (1) APJ 1987 (Akta 333/87), Seksyen 90 (1) APJ 1987, Seksyen 15 (1)A APJ 1987 (Akta 333/87), Seksyen 119 (2) APJ 1987 (Akta 333/87) dan Seksyen 66A (2) APJ 1987 (Akta 333/87).
Menurut fakta kes, tertuduh dalam perjalanan dari Luasong ke Sawmill di Logpond apabila tiba-tiba tali kabel yang mengikat muatan kayu balak terputus lalu jatuh menghempap hadapan kereta Toyota Hilux dinaiki sepasang suami isteri yang mana penumpang wanita itu mengandung 29 minggu.
Pegawai Pendakwa Trafik, Asisten Superintendan Joan Lee, tampil menjalankan pendakwaan, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.
Comentários