Pemandu mabuk ditahan, 22 disaman dikeluarkan
21 September 2024
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam ‘Op Mabuk’ di Jalan Bundusan, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memeriksa keseluruhan 80 kenderaan dan 85 individu sehingga jam 2 pagi.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan 22 keping saman membabitkan pelbagai kesalahan.
“Operasi kali ini melibatkan kekuatan seramai satu pegawai kanan polis dengan dibantu oleh enam anggota polis berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Sammy berkata, operasi ini bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.
Comments