Pemandu teksi di Sabah diingat terus patuhi SOPPemandu teksi di Sabah diingat terus patuhi SOP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemandu teksi di Sabah diingat terus patuhi SOP


Hiew Sun Vun (dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa persatuan Sesi 2021-2022 mengetuai angkat sumpah sambil disaksikan oleh Chin (kiri).

9 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Pemandu teksi di Sabah diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menjamin keselamatan penumpang.


Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, ini kerana kehadiran pelancong di negeri ini dijangka bertambah dan perkhidmatan teksi juga akan meningkat susulan kelonggaran SOP Covid-19 di negeri ini.


“Walaupun ini merupakan satu peluang kepada pemandu teksi untuk merancakkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik, namun mereka juga harus harus mengutamakan keselamatan penumpang dengan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.


“Para pemandu teksi perlu sentiasa menyemak status saman PDRM, memastikan lesen LPKP mereka sentiasa aktif serta memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung dan Upacara Angkat Sumpah Ahli Jawatan Kuasa 2021 – 2022 Persatuan Teksi Seluruh Sabah baru-baru ini.


Chin juga mahu agar pemandu teksi di negeri ini sentiasa mengikuti perkembangan teknologi bagi memastikan perkhidmatan mereka terus relevan terutama kewujudan perkhidmatan pengangkutan awam yang dilihat dapat memenuhi kehendak semasa pelanggan.


“Sebagai contoh pada hari ini masyarakat lebih gemar menggunakan perkhidmatan e-hailing yang dianggap lebih mudah dan murah. Hanya di hujung jari sahaja mereka dapat memesan perkhidmatan e-hailing pada bila-bila masa berbanding perkhidmatan teksi sedia ada.


“Oleh itu, sudah tiba masanya pemandu teksi mengikuti perkembangan ini sama ada memperbaiki perkhidmatan sedia ada atau beralih kepada perkhidmatan e-hailing bukan sahaja kekal relevan tetapi bagi memastikan mereka tidak hilang punca pendapatan akibat kehilangan pelanggan yang beralih kepada perkhidmatan yang lebih mudah,” katanya.


Chin turut menekankan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib para pemandu teksi di negara ini dengan sentiasa memberikan bantuan kepada mereka.


“Menyedari kumpulan pemandu teksi turut terjejas akibat pandemik Covid-19, kerajaan telah memberikan beberapa bantuan kewangan secara one-off iaitu PERMAI dan PEMERKASA dengan perbelanjaan sebanyak RM2.8 juga kepada 3885 pemandu teksi.


“Selain itu, Kementerian Pengangkutan turut bersetuju melanjutkan had usia selama setahun bagi kenderaan pengangkutan awam yang tamat tempoh usia pada 2020 dan 2021,” katanya.


Dalam Mesyuarat Agung Persatuan Teksi Seluruh Sabah baru-baru ini, Hiew Su Vun mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Teksi Seluruh Sabah selepas menang tanpa bertanding.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page