PEMANDULAN BADAN PERUNDANGAN, KATA AZLINA DALAM SURAT KEPADA AGPEMANDULAN BADAN PERUNDANGAN, KATA AZLINA DALAM SURAT KEPADA AG
top of page
  • nabalunews

PEMANDULAN BADAN PERUNDANGAN, KATA AZLINA DALAM SURAT KEPADA AG


Surat Azlina kepada Peguam Negara yang dikongsinya dalam Twitter dan Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang Datuk Azlina Othman Said melahirkan rasa bingung mengapa kerajaan tidak boleh atau enggan mengguna pakai ordinan bagi memudahkan mesyuarat Parlimen diadakan seperti yang dilakukan di negarai-negara lain.


Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, antaranya mengurangkan kuorum Ahli Parlimen yang hadir, menetapkan waktu mesyuarat yang fleksibel serta menyiarkan prosiding kamar khas.


"Dalam pengalaman saya sebagai seorang Ahli Parlimen selama lebih kurang 17 tahun, saya bingung bagaimana dan mengapa kerajaan tidak boleh atau enggan mengguna pakai ordinan bagi memudahkan mesyuarat Parlimen diadakan seperti yang dilakukan di negara-negara lain.

“Tanpa melakukan sebarang improvasi supaya Persidangan Parlimen diteruskan, kerajaan telah memutuskan untuk menggantung Parlimen sama sekali.


“Tidak cukup dengan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) kini menasihati kerajaan dengan agak sempitnya pada hemat saya, bahawa semua aktiviti Jawatankuasa yang ditubukan di Parlimen termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas (JK) tidak wajar diteruskan termasuk secara maya," katanya dalam surat yang ditulis kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.


Azlina berkata, nasihat itu secara langsung menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang juga merupakan anggota JK dari menyiasat isu-isu tertentu secara mendalam atau menjalankan peranan mereka untuk melaksanakan pemeriksaan secara teliti.

"Dengan itu, Ahli-Ahli Parlimen yang menganggotai JK seperti saya tidak dapat berhubung secara rasmi dengan birokrat atau pakar teknikal mengenai isu-isu menyentuh hal-ehwal rakyat," katanya.


Katanya lagi, dalam hal ini fungsi badan perundangan dimandulkan dan aktiviti JK dibatalkan, badan Eksekutif pula mempunyai kebebasan memerintah negara selagi darurat masih berkuatkuasa.


"Apa yang lebih membimbangkan bagi demokrasi Parlimen Malaysia adalah setiap Darurat yang diisytiharkan atau ordinan yang digubal di bawah Perkara 150 "tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan," katanya.

Azlina berkata, berikutan itu timbul beberapa persoalan seperti bagaimana badan Eksekutif akan dipertanggungjawabkan untuk keputusan yang dibuat sekiranya Parlimen tidak boleh memainkan peranan fungsi perlembagaannya yang paling utama.


"Apakah rasional dalam menghalang aktiviti JK dari diteruskan? Mengapakah langkah-langkah tidak diambil untuk membolehkan Parlimen bersidang seperti yang dilakukan di negara-negara lain? Bagaimana Jemaah Menteri yang penuh boleh berfungsi jika tiada cara untuk mempertanggungjawbkan para Menteri? Mengapakah tiada Jemaah Menteri Darurat yang khas? Adakah kerajaan sanggup mengenepikan tanggungjawab Menteri atas alasan krisis kesihatan?," soalnya.


Menurut Azlina, hampir semua negara lain termasuk negara yang mempunyai kadar kes jangkitan penyakit Covid-19 yang lebih tinggi dari negara ini tidak menggantung Parlimen.

"Sebaliknya negara-negara seperti United Kingdom melaksanakan pengubahsuaian teknikal dan prosedural supaya persidangan Parlimen dapat dijalankan dengan selamat dan efisyen.


"Kita wajar ingat dan tidak sepatutnya lupa bahawa keputusan kerajaan untuk menggantung Parlimen melalui ordinan baru-baru ini mendorong 90 Ahli Parlimen dari Asia Tenggara menzahirkan kebimbangan "serius" mereka terhadap pelaksanaan Darurat yang cukup meluas di Malaysia," katanya.


Azlina berharap, Idrus dapat mempertimbangkan menasihati penggantungan tugas-tugas Jemaah Menteri dan menggantikannya dengan perlantikan Kabinet Darurat Khas yang hanya terdiri daripada kementerian-kementerian yang releven sahaja.

"Kabinet Darurat tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga Darurat dibatalkan.


"Pada masa yang sama sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen dari pihak Kerajaan dan Pembangkang boleh dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat antara lain mempertanggungjawabkan Menteri-menteri dan melaksanakan "check and balance" yang amat diperlukan," kata Azlina.


Surat bertarikh hari ini (17 Feb 2021) itu dikongsi oleh Azalina di Twitter dan Facebook beliau dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.


bottom of page