Pembakaran Terbuka: Kompaun Hingga RM500,000, Penjara 5 Tahun
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
28 Mac 2026
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan bahawa aktiviti pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun serta kompaun sehingga 50 peratus daripada penalti maksimum.
Ketua Pengarah JAS dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa sebarang aktiviti pembakaran di udara bebas tanpa kawalan termasuk pembakaran sampah, semak belukar, sisa pertanian atau tanah gambut merupakan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi.
“Malaysia mempunyai lebih 2.5 juta hektar tanah gambut yang menyimpan simpanan karbon sangat besar. Kebakaran di kawasan ini amat sukar dikawal kerana api merebak di bawah permukaan tanah, melepaskan jerebu tebal, gas rumah hijau serta memusnahkan habitat semula jadi dan biodiversiti,” katanya.
Menurut JAS, pembakaran terbuka bukan sahaja mencabuli undang-undang malah menyumbang kepada pencemaran udara rentas sempadan dan perubahan iklim. Cuaca panas dan kering turut meningkatkan risiko kebakaran serta menyebabkan api merebak dengan pantas dan sukar dikawal.
Tambah beliau, asap dan habuk daripada pembakaran walaupun berskala kecil boleh menjejaskan kesihatan awam, terutamanya memburukkan lagi penyakit asma, penyakit paru-paru dan jantung dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas.
Orang ramai dinasihatkan mengelakkan pembakaran sisa kebun, sampah sarap atau bahan buangan secara terbuka. Sebagai alternatif, kaedah pelupusan selamat seperti kompos, kitar semula dan pelupusan melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah diutamakan.
JAS mengingatkan bahawa mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan tegas, dan orang ramai digalakkan menyalurkan aduan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau aplikasi MyDoE sekiranya menyaksikan sebarang aktiviti berkenaan.















Comments