Pembangunan fasa 3 Tamu Kadamaian RM1 juta akan disalur melalui pejabat daerah Kota Belud - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangunan fasa 3 Tamu Kadamaian RM1 juta akan disalur melalui pejabat daerah Kota Belud - Ewon


6 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, berkata sebanyak RM1 juta peruntukan disediakan untuk Pembangunan Fasa 3 Tamu Kadamaian yang akan disalurkan melalui Pejabat Daerah Kota Belud, tahun ini.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk pembinaan parit di kawasan tamu mingguan Taginambur, taman permainan, kawasan tempat letak kereta, pemasangan lampu solar dan pembangunan-pembangunan lain di kawasan ini.


“Ini adalah komitmen dan tanggungjawab berterusan saya untuk rakyat Kadamaian yang telah memberikan mandat kepada saya sebagai wakil rakyat mereka.

“Selain pembangunan di kawasan Kadamaian Square, saya juga akan melipatgandakan usaha untuk memenuhi keperluan rakyat Kadamaian termasuk melaksanakan pelbagai pembangunan lain di kawasan ini terutamanya jalan perhubungan desa yang amat diperlukan penduduk kampung,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2023, di Dewan Terbuka Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Kerajaan negeri terdahulu menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembangunan Fasa 1 dan 2 Tamu Pekan Taginambur.


Pembangunan Fasa 1 termasuk pembinaan Dewan Kadamaian Square dan penyediaan pelbagai kemudahan lain di kawasan itu.


Manakala Pembangunan Fasa 2 Kadamaian Square atau lebih dikenali sebagai Tamu Pekan Taginambur pula merangkumi pembinaan dua buah rumah rehat empat bilik, kafeteria, pembinaan konkrit tebing sungai di sepanjang persisiran tamu dan penambahbaikan kemudahan Dewan Kadamaian Square.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, mulai tahun ini beliau akan mengendalikan peruntukan khas Adun Kadamaian dan meneruskan komitmennya untuk membantu majlis-majlis gereja kawasan Kadamaian.


“Sebelum ini saya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 melalui sentuhan kasih kepada Majlis Gereja-Gereja Kadamaian dan sumbangan yang sama saya teruskan pada tahun ini.

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan pihak gereja dalam melaksanakan program-program pembangunan gereja,” katanya.


Mengenai sambutan Hari Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil (HPPK) yang dianjurkan kementeriannya setiap tahun, Ewon berkata, pada tahun ini sambutan HPPK peringkat Kebangsaan akan diadakan di Penampang.


“Kita juga akan mengadakan Mini Karnival HPPK Peringkat Kadamaian di sini untuk memberi peluang kepada para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di sini meraikan sambutan itu,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page