top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangunan rumah ibadat di Kadamaian antara fokus berterusan Ewon


Ewon bergambar bersama penduduk kampung yang menghadiri sambutan Tahun Baharu SRA Gaur.

1 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pembangunan rumah-rumah ibadat di kawasan Kadamaian akan terus menjadi antara fokus berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia berkata, keperluan pembangunan rumah-rumah ibadat antara yang paling banyak dikemukakan oleh penduduk di DUN Kadamaian selain keperluan pembangunan infrastruktur dan utiliti.


Ewon menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu dan Kesyukuran Sekolah Rendah Advent (SRA) Gaur, di sini, hari ini.


“Dalam kunjungan terakhir saya ke Geraja SDA Gaur sebelum wabak Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya telah menyalurkan peruntukan membina dewan terbuka untuk gereja SDA Gaur yang juga digunakan oleh SRA Gaur.


Ewon (tiga dari kiri), Munirah (dua kiri) dan Demis (empat dari kiri) merasmikan sambutan Tahun Baharu 2023 SRA Gaur.

“Selepas dua tahun tidak dapat mengadakan sambutan Tahun Baharu, kini kita dapat menggunakan kemudahan dewan yang dibina daripada peruntukan yang saya sediakan sebelum ini.


“Saya maklum dengan keperluan kemudahan bersama Gereja SDA dan sekolah SRA Gaur yang dikemukakan kepada saya dan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk melengkapkan dewan ini dan membina konkrit laluan kereta dalam kawasan gereja ini,” katanya.


Turut hadir Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Demis Rumanti dan Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian Carlye Lajimin.



Selain menghadiri sambutan Tahun Baru 2023 Sekolah SRA Gaur, Ewon turut meluangkan masa memeriahkan sambutan tahun baharu Gereja SDA Gaur.


Beliau turut bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM40,000 kepada gereja tersebut untuk menambahbaik keperluan bangunan gereja.


Sebelum ini, Ewon telah menyalurkan sumbangan peribadi sebanyak RM3,000 bagi menggantikan tingkap gereja yang usang dan kini siap sepenuhnya.



Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan ahli-ahli jemaat gereja dan penduduk kampung berkecimpung dalam bidang keusahawanan termasuk perusahaan kecil, penjaja dan perniagaan kecil di kampung.


“Saya sentiasa mengingati tanggungjawab saya sebagai Wakil Rakyat Kadamaian dan Penampang di mana saya ditempatkan sekarang sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. Saya berharap rakyat di kawasan ini juga turut sama mengambil bahagian dalam sektor keusahawanan sepertimana di kawasan-kawasan lain di seluruh negara,” katanya.





Comments


bottom of page