Pembekuan Perolehan MINDEF, Agensi Berkaitan Diteruskan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

21 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Pembekuan sementara perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan diteruskan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu selari dengan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini yang menekankan keperluan tadbir urus serta tatakelola baik dalam semua keputusan perolehan.
Katanya, keberkesanan dasar pertahanan negara bergantung kepada ketegasan kerajaan dalam menghapuskan amalan rasuah dan pengambilan komisen dalam setiap proses perolehan aset ketenteraan.
“Mana mungkin kita tetapkan satu dasar pertahanan, perolehan senjata yang terbaik kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan-kekayaan.
“Maka pembekuan ini diteruskan di Kementerian Pertahanan dan saya nak selaraskan juga di Kementerian Dalam Negeri, kerana beberapa persamaan atau agensi-agensi lain yang terlibat, harus melalui perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran DIPN di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Menurut Anwar, semua kelulusan perolehan yang telah dibuat tetapi belum dimuktamadkan akan diteliti semula bagi memastikan pematuhan kepada prinsip ketelusan serta keupayaan kewangan negara.
"Melalui DIPN, semua perolehan mesti dilihat dalam konteks strategi DIPN, diputuskan secara telus dan mengelak daripada apa juga kemungkinan kecurangan berlaku," ujarnya.
Jumaat lalu, Anwar memaklumkan bahawa semua keputusan perolehan membabitkan ATM, PDRM serta agensi berkaitan yang terpalit dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.


















Comments