top of page

Kerajaan buat kajian cadangan had tempoh jawatan PM dua penggal

  • nabalunews
  • 36 minutes ago
  • 1 min read

21 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan menjalankan tinjauan dalam talian bagi mengumpul maklum balas mengenai cadangan untuk mengenakan had dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri.


Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, tinjauan tersebut akan dijalankan bermula 21 hingga 28 Januari ini.


“Cadangan ini melibatkan pertimbangan penetapan had maksimum jawatan Perdana Menteri, sama ada berdasarkan bilangan penggal atau jumlah tahun maksimum.

“Antara perkara yang dikaji termasuk cara pengiraan tempoh perkhidmatan, kesan terhadap kesinambungan pentadbiran, serta pemeliharaan peranan dan kuasa institusi Raja Berperlembagaan,” menurut BHEUU dalam kenyataan.


BHEUU berkata kajian pendapat awam tersebut bertujuan mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen, penjawat awam, masyarakat sivil, dan orang awam.


Jelasnya, ia bagi membantu Kerajaan membuat keputusan dasar yang seimbang, berasaskan bukti, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.


BHEUU menegaskan segala maklum balas yang diterima akan digunakan sebagai input pertimbangan dasar berhubung cadangan berkenaan.


Pada 5 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun akan menjadi antara empat reformasi yang akan dilaksanakan pada 2026.


Anwar berkata rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal itu akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page