2,966 kilometer persegi kawasan berisiko tanah runtuh termasuk Kundasang sudah dipetakan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

21 Januari 2026
KUALA LUMPUR: 2,966 kilometer persegi kawasan berpotensi berlaku tanah runtuh di seluruh negara sudah dipetakan setakat ini sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pengurusan cerun serta perancangan pembangunan yang lebih selamat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata pemetaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) itu meliputi kawasan pertanian aktif di tanah tinggi.
Menurutnya, antara kawasan yang menjadi fokus pelaksanaan ialah Cameron Highlands seluas 475 kilometer persegi dan Kundasang seluas 370 kilometer persegi.
“Hasil pemetaan tersebut telah dimanfaatkan melalui penyediaan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) yang dikongsi bersama agensi perancang dan pelaksana seperti PLANMalaysia dan Jabatan Pertanian bagi menyokong perancangan guna tanah yang lebih teratur, selamat dan mampan.
“PBRC menjadi rujukan strategik dalam merancang langkah pencegahan awal, penyelenggaraan cerun secara berkala, penentuan lokasi pemasangan sistem amaran awal tanah runtuh serta memperkukuh kawalan guna tanah oleh agensi berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung cadangan pelaksanaan pemetaan menyeluruh kawasan perladangan monokultur mengikut kecerunan bagi menilai risiko banjir lumpur dan tanah runtuh serta melindungi kawasan tadahan kritikal susulan tragedi di Sumatera Barat pada November 2025.
Mengulas lanjut, Arthur berkata dua jenis PBRC telah dibangunkan iaitu berasaskan linear base dan area base.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menyediakan PBRC berasaskan linear base bagi laluan Jalan Persekutuan di Semenanjung, manakala JMG menyediakan PBRC berasaskan area base bagi kawasan selain jalan raya dan lebuh raya.
“Pembahagian peranan ini memastikan liputan pemetaan yang menyeluruh, tersusun dan saling melengkapi dalam menyokong pengurusan cerun serta perancangan pembangunan yang lebih selamat dan mampan,” ujarnya.
Jelasnya, kementerian turut memperkukuh mekanisme kawalan melalui pelaksanaan penilaian kesan kepada alam sekitar bagi aktiviti pertanian dan perladangan yang diklasifikasikan sebagai aktiviti ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.
Selain itu, katanya JMG dan Jabatan Alam Sekitar turut memainkan peranan aktif dengan mengemukakan ulasan teknikal di peringkat pusat sehenti pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pembangunan kawasan terbabit dilaksanakan secara terancang.


















Comments