Murid masuk Tahun 1 usia enam tahun, tamat sekolah umur 16 tahun
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

21 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu pada usia enam tahun (5+) bagi sesi 2027 dijadual menamatkan pendidikan peringkat menengah atas lebih awal iaitu pada usia 16 tahun (15+).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kumpulan murid itu tidak akan berada dalam Tahun Satu selama dua tahun, sebaliknya mengikuti struktur sedia ada iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah dilaksanakan di banyak negara lain sebagai langkah membolehkan kanak-kanak menyertai sektor pekerjaan pada usia lebih muda pada masa hadapan.
“Ia telah dilaksanakan di banyak negara bagi membolehkan anak-anak menyertai sektor pekerjaan pada usia lebih muda sekaligus menangani isu yang terkait dengan negara menua.
“Walaupun begitu, inisiatif ini tidak akan dilaksanakan secara terburu-buru. Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak yang bersedia mengikuti persekolahan peringkat rendah lebih awal,” katanya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesediaan kanak-kanak akan ditentukan berdasarkan keputusan saringan diagnostik yang ditetapkan oleh KPM.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan KPM sedang membuat persediaan rapi bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“KPM sedang menambah kelas prasekolah di seluruh negara. Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar.
“Keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula akan bermula pada usia enam tahun.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan khususnya warga pendidik.


















Comments