Pembentangan RUU Anti Lompat Parti tidak wajar ditangguh: Madius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembentangan RUU Anti Lompat Parti tidak wajar ditangguh: Madius



19 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak wajar ditangguh atau dilewatkan, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal RUU Anti Lompat Parti berkata, ini kerana rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.


“Jika ada mana-mana perkara yang belum padu, saya percaya kita masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan.


“Apa yang penting RUU ini harus dan perlu dibawa ke sesi Parlimen Februari-Mac ini. Saya juga berharap kerajaan-kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang di peringkat negeri, termasuk Perlembagaan Negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan media kelmarin, dipetik sebagai berkata Kerajaan telah bersetuju untuk membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.


Sambil menyokong kenyataan itu, Madius berkata, ia selaras dengan semangat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos 2021.


“Kenyataan YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga selaras dengan pendirian PH dalam pertemuan dengan beliau, di mana PH telah menegaskan bahawa RUU ini perlu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini.


“Pada pandangan PH, pembentangan RUU ini tidak wajar ditangguh dan dilewatkan kerana rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat,” katanya.


Madius berkata, pengumuman Wan Junaidi juga dengan sendiri menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa RUU tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Pusat tidak serius dan MoU yang dimeterai oleh PH tidak bernilai dan tidak bertaring.

bottom of page