Pemberian khas 40% hak Sabah harus sentiasa terpakai: Madius
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemberian khas 40 peratus hak Sabah harus sentiasa terpakai: Madius



13 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, jumlah Pemberian Khas kepada Sabah seharusnya merujuk kepada 40% hasil Negeri Sabah seperti yang termaktub dalam perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.


Beliau berkata, ini kerana semua perkara yang dirundingkan di bawah artikel 112D hendaklah tidak bercanggah daripada artikel 112C.


"Sekiranya pandangan yang diberikan berbeza daripada pihak kita, Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan, maka sebaik mungkin perkara ini perlu diserahkan kepada mahkamah bagi memutuskan mana satu pandangan yang benar," katanya dalam webinar anjuran WISDOM Foundation, baru-baru ini.


Program itu, disiarkan secara langsung melalui Facebook dan Zoom. Webinar tersebut antara lain mengupas isu bertajuk "Rundingan pemberian khas perkara 112D: Bercanggah dengan Hak 40% Sabah yang termaktub dalam perkara 112C perlembangaan Perseketuan".


Madius yang juga Presiden UPKO berkata, rundingan yang dibuat sebelum ini seharusnya hanya berkaitan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membuat bayaran Pemberian Khas.


“Pembayaran dalam bentuk lain boleh dibuat dan perundingan seharusnya hanya berkenaan sama ada Kerajaan Persekutuan mampu bayar atau tidak sahaja (40% hak Sabah).


"Seorang ahli parlimen juga telah mencuba untuk membuat satu usul dibawah perkara 18(2) agar isu tersebut mendapat pendedahan yang lebih meluas bagaimanapun ditolak oleh pihak tertentu," katanya.


Beliau berkata, pihak kementerian kewangan telah menyatakan bahawa perkara tersebut telahpun dilaksanakan di bawah 112D dan satu warta telah dibuat pada tahun 1970 serta digazetkan.


"Namun, warta yang digazetkan itu telah dirahsiakan. Mengapa gazet tersebut perlu dirahsiakan sedangkan itu merupakan satu warta?


"Mengapa perkara yang sepatutnya kita dapat tidak diberikan? Negeri Sabah haruslah mendapatkan kebenaran supaya rakyat tidak berasa ditipu,” tegas Madius.

bottom of page