Pembinaan jambatan Labuan-Sabah dilihat beri banyak manfaat, rangsang pertumbuhan ekonomi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembinaan jambatan Labuan-Sabah dilihat beri banyak manfaat, rangsang pertumbuhan ekonomi

23 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kadayan Malaysia (DPPKM) menyifatkan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah dilihat bakal memberi banyak manfaat khusus kepada golongan usahawan selain berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi di pulau itu.


Timbalan Yang Dipertua DPPKM, Ts Mohd Faizal Malik dalam satu kenyataan berkata sekiranya cadangan pembinaan jambatan itu direalisasikan, ia umpama serampang dua mata yang akan memberi faedah tidak hanya kepada pemain industri besar-besaran malah juga kepada peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta ekonomi.


"Pihak kita mengakui secara umumnya, cadangan pembinaan jambatan ini akan membawa impak positif secara menyeluruh terhadap ekonomi di Labuan namun kita juga perlu melihat secara teliti manfaat yang bakal diperolehi peniaga IKS dan golongan marhaen.


"Antara manfaat yang bakal diperolehi adalah sudah tentunya penjimatan dapat dilakukan golongan peniaga IKS dari segi kos logistik. Golongan peniaga dapat membuat pilihan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang secara terus dari pembekal (dari Sabah) berbanding menggunakan perkhidmatan kurier atau menerusi perkhidmatan feri.

Timbalan Yang Dipertua DPPKM, Ts Mohd Faizal Malik.

"Malah, penyedia perkhidmatan logistik juga berpotensi akan menjadi

lebih banyak dan ini juga boleh menjadi satu manfaat besar sekiranya perkhidmatan logistik di antara Labuan dan Sabah menjadi salah satu antara perkhidmatan yang utama. Sudah tentu ia akan memudahkan kepada para peniaga.


"Apatah lagi, perkhidmatan logistik dengan konsep seperti 'e-hailing' yang boleh digunakan menerusi aplikasi telefon pintar telah mula wujud, perlahan-lahan ia mula menjadi menjadi perkhidmatan logistik di era baru.


"Secara tidak langsung, ia juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya pekerjaan bagi rakyat dari Labuan dan juga Sabah," katanya.


Selain itu, Mohd Faizal juga melihat cadangan pembinaan jambatan itu juga boleh menjadi peluang segala perkhidmatan dengan konsep 'e-hailing' dapat diperluaskan lagi membabitkan Labuan dan Sabah.


Katanya, perkhidmatan 'e-hailing' pada zaman kini tidak terhad kepada menghantar penumpang seperti Grab sahaja malah juga telah menjadi sebahagian daripada komponen penting sesebuah perniagaan.


"Umumnya, peniaga contohnya seperti pemilik restoran menggunakan perkhidmatan 'e-hailing' iniuntuk menghantarmakanansaja. Tapi jika kita melihat secara meluas, perkhidmatan 'e-hailing' ini juga menghantar barangan lain untuk tujuan urusan perniagaan yang sudah tentu memudahkan golongan peniaga juga.


"Dengan pembinaan jambatan, saya percaya lingkungan kawasan untuk perkhidmatan 'e-hailing' ini akan menjadi lebih luas dan seterusnya mampu menjadikan aktiviti perniagaan tempatan Labuan-Sabah menjadi semakin rancak," katanya.


Disamping itu, beliau turut berpendapat pembinaan jambatan juga bakal menyediakan platform perniagaan lebih luas dan mudah kepada golongan peniaga IKS Labuan-Sabah khususnya jika membabitkan aktiviti jualan di festival atau karnival besar-besaran membabitkan usahawan.


"Kebiasaannya, para peniaga tidak akan melepaskan peluang untuk membuka gerai jualan di hari festival atau karnival. Jadi saya melihat jika cadangan pembinaan jambatan direalisasikan, ia berpotensi dimana para penganjur terutamanya jabatan / agensi / kementerian tertentu dapat memperbanyakkan lagi acara sedemikian untuk usahawan.


"Lebih banyak penyertaan golongan peniaga dalam acara sedemikian, kegiatan ekonomi dan perniagaan semestinya menjadi rancak. Ini sekaligus membantu peniaga IKS untuk mencari platform tambahan menjana pendapatan selain berniaga secara harian.


"Malah saya juga berpendapat kerajaan negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (menerusi jabatan dan agensi masing-masing yang bekerjasama erat dengan golongan usahawan) juga boleh menjalin kerjasama untuk memperbanyakkan lagi platform untuk peniaga meningkatkan hasil jualan mereka.


"Misalnya, mungkin boleh diusulkan satu acara bulanan dimana peniaga Labuan dan Sabah boleh membuka gerai jualan di satu tempat khusus yang boleh dikunjungi ramai orang," katanya.


Selain itu, beliau juga menyifatkan cadangan pembinaan jambatan ini turut memberi kemudahan kepada golongan rakyat.


"Harus difahami bahawa tidak semua orang terutamanya golongan B40 yang berpendapatan tinggi untuk membeli tiket penerbangan atau feri lagi-lagi jika memerlukan untuk mereka berulang-alik Labuan-Sabah sama ada untuk urusan peribadi, kerja dan sebagainya.


"Dengan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan-Sabah, mereka mempunyai pilihan lain selain menggunakan penerbangan atau feri," katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page