Pembukaan ROVR di Kuala Abai rancakkan aktiviti ekonomi tempatan
- nabalunews
- Jun 15, 2025
- 2 min read

15 Jun 2025
KOTA BELUD: Pembukaan Perkhidmatan Pengisian Bahan Api Mudah Alih PETRONAS (ROVR) di Kuala Abai di Kota Belud, merupakan satu langkah tepat ke arah merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perlhidmatan itu yang akan dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud, akan memberi manfaat kepada sektor ekonomi setempat.
"Antara sektor ekonomi setempat yang bakal menerima manfaat daripada kemudahan ROVR di sini adalah perikanan dan pertanian di kampung sekitar seperti Kampung Kuala Abai, Kampung Buah Pandai, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kulambai.
"Dengan kehadiran ROVR yang membekalkan bahan api terus ke kawasan nelayan, mereka tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke stesen minyak, sekali gus mengurangkan kos operasi harian," katanya.
"Selain itu, kehadiran ROVR turut menyokong kelangsungan ekonomi komuniti nelayan setempat dengan memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh, terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika permintaan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai wakil PETRONAS Dagangan Berhad melawat tapak ROVR yang dijangkakan akan mula beroperasi di Kuala Abai, Kota Belud pada 21 Jun tahun ini.
Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited dalam memastikan akses kepada bekalan bahan api yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman.
Katanya, ROVR, inisiatif oleh PETRONAS Dagangan Berhad sejak tahun 2018, merupakan langkah strategik yang amat bertepatan dalam memperkukuh jaringan bekalan bahan api kepada rakyat di seluruh negara.
Menurutnya, buat masa ini, ROVR beroperasi di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 6 di Sarawak dan 1 di Sabah, iaitu di Beaufort. Pembukaan ROVR di Kuala Abai ini menjadikan jumlah keseluruhan 8 ROVR bagi kawasan luar bandar.
Katanya, perkhidmatan ROVR bukan sekadar satu penyelesaian logistik, malah satu keperluan kepada penduduk di kawasan luar bandar atau pedalaman untuk mendapatkan bekalan petrol RON95.
"Melalui kewujudan ROVR ini, penduduk dapat menikmati kemudahan pengisian bahan api yang lebih dekat, mudah dan selamat.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada PETRONAS Dagangan Berhad atas kerjasama strategik yang berterusan bersama KPDN dalam memperluaskan liputan ROVR ke kawasan yang memerlukan," katanya.
Armizan berkata, sehingga kini, ROVR telah mengagihkan lebih 250 juta liter bahan api sejak ia dilancarkan, dan keberkesanannya telah terbukti dalam menyokong mobiliti harian serta semasa situasi kecemasan negara seperti pandemik COVID-19 dan bencana banjir.
"Nelayan merupakan komuniti terbesar yang menggunakan ROVR di Sabah dan Sarawak," katanya.
Katanya, KPDN akan terus memastikan bekalan petrol RON95 pada harga runcit terkawal sampai ke tangan rakyat, tanpa mengira lokasi geografi.
"Usaha ini bukan sahaja menjamin keadilan tenaga, tetapi juga mengurangkan beban kos sara hidup penduduk luar bandar serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat," katanya.















Comments