Pemerkasaan budaya mampu bangun ekonomi pelancongan Labuk – Norfadzlina
- nabalunews
- 38 minutes ago
- 2 min read

21 November 2025
BELURAN: Pemerkasaan budaya pelbagai etnik di Labuk berpotensi besar menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi pelancongan di kawasan ini, menurut calon Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Norfadzlina Ramsah.
Beliau berkata, isu kemerosotan ekonomi pekan Beluran, yang sering disifatkan sebagai “pekan mati”, perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih kreatif dan berpaksikan kekuatan komuniti setempat.
Menurutnya, peluang ekonomi Labuk tidak berkembang sepenuhnya kerana potensi pelancongan khususnya eco-pelancongan masih belum dimajukan.
“Pendekatan untuk membangunkan ekonomi pelancongan di kawasan Labuk boleh dilakukan dengan memperkasakan budaya setiap kaum yang wujud di sini, seperti Dusun, Tidong, Sungai, Bajau dan lain-lain sebagai aset pelancongan yang bernilai.
“Dengan memberi ruang dan sokongan kepada masyarakat setempat untuk menghidupkan kembali warisan budaya ini, ia bukan sahaja memelihara identiti mereka, tetapi juga menjadikannya tarikan pelancong yang unik dan autentik,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ekosistem pelancongan Labuk boleh dibangunkan secara sistematik melalui pelbagai inisiati antaranya festival budaya, program homestay komuniti, galeri mini budaya dan pasar seni kraftangan dan pementasan seni tradisi.
Inisiatif itu, jelasnya, perlu disertai latihan keusahawanan, pemasaran digital dan kerjasama dengan agensi pelancongan untuk memastikan keberkesanan jangka panjang.
“Apabila setiap etnik di Labuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan, ia bukan sahaja memperkukuh perpaduan, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk luar bandar,” ujarnya.
Bagi tujuan itu, Norfadzlina menawarkan pelan tindakan komprehensif bermula dengan pengumpulan data budaya setiap kaum bagi menghasilkan Peta Budaya Labuk sebagai asas pembangunan ekonomi pelancongan.
Pelan tersebut turut merangkumi latihan keusahawanan budaya, pengurusan homestay, bengkel penceritaan budaya, serta penubuhan komiti pelancongan budaya Labuk melibatkan semua kaum.
“Selain itu, pembinaan pusat budaya Labuk sebagai hab interaktif, pembangunan pakej “Pengalaman Etnik”, penganjuran festival tahunan semua kumpulan etnik, serta promosi digital melalui jenama “Labuk Cultural Experience”.
“Bagi melengkapkan ekosistem pelancongan, pembangunan infrastruktur sokongan seperti laluan pelancong, papan informasi budaya, kemudahan homestay selesa dan pusat informasi pelawat perlu diberikan perhatian,” jelasnya.
Menurutnya, pelan berasaskan budaya ini mampu meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar, memartabatkan identiti budaya tempatan dan menjadikan pelancongan sebagai sektor ekonomi alternatif yang mampan di Labuk.
Justeru Norfadzlina menyeru pengundi supaya memberi mandat kepada beliau bagi menggerakkan halatuju pembangunan Labuk yang lebih jelas dan berfokus.


















Comments