Pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah bukan isu - Nelson
21 Disember 2024
KOTA KINABALU: Tidak wujud isu dalam pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baru.
Setiausaha Majlis Pimpinan PH Sabah, Datuk Nelson W Angang berkata ini adalah kerana dalam Mesyuarat Agung atau AGM PH Sabah baru-baru ini, kesemua Pengerusi dan pemimpin komponen PH Sabah bersama-sama dengan perwakilan masing-masing telah hadir dan telah mengambil bahagian dalam proses demokrasi dalam memilih pengerusi PH Sabah yang baru.
"Saya yakin setiap komponen PH Sabah memahami dan menghormati proses pemilihan yang diadakan baru-baru ini.
"Kerana ini bukanlah kali pertama PH Sabah telah mengadakan AGM dan memilih Pengerusi PH Sabah. Dalam setiap AGM yang lepas semua komponen menghormati proses yang dilakukan termasuk memilih Pengerusi sebelum ini.
"Inilah keunikan PH Sabah yang telah diberikan autonomi untuk kami memutuskan kepimpinan Majlis Pimpinan PH Sabah. Disebabkan itu jugalah saya yakin tidak wujud campurtangan daripada mana-mana pemimpin PH pusat atas keputusan mesyuarat Agung PH Sabah baru-baru ini," kata Nelson dalam kenyataan hari ini.
Katanya jawatan Pengerusi PH Sabah atau Pengerusi Majlis Pimpinan mana-mana negeri bagi PH di Malaysia bukannya satu jawatan yang dikhususkan hanya kepada satu parti komponen sahaja.
"Sebab itulah perlembagaan PH memperuntukkan agar pengerusi bagi setiap negeri dipilih setiap kali AGM diadakan.
"Pada kali ini kepimpinan PH Sabah telah melalui proses demokrasi untuk memilih YB Datuk Ewon Benedick. Dan proses ini akan berulang juga pada AGM yang akan datang," katanya.
Nelson berkata sudah pasti juga dalam AGM yang akan datang kepimpinan PH Sabah akan berbincang sekali lagi dan memutuskan samada mengekalkan atau memilih Pengerusi baru dari kalangan parti komponen yang lain seperti parti Amanah, DAP atau PKR.
"Setiap ahli dan pemimpin PH memahami perkara ini dan menghormati Perlembagaan PH.
"Kerjasama, persefahaman dan kematangan dalam setiap perbincangan yang dibuat diantara pemimpin PH Sabah selama ini akan tetap diteruskan untuk memastikan PH Sabah kekal utuh," katanya.
Sementara itu, semua Ketua-Ketua Bahagian UPKO menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang Ewon sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Sabah.
Ketua-Ketua Bahagian UPKO juga merasa amat kecewa dengan suara-suara yang mempertikaikan keputusan pemilihan yang sudah dibuat oleh pemimpin-pemimpin komponen PH Sabah.
Comentários