Pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah, hasil proses demokrasi yang telus
nabalunews

21 Disember 2024
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Pusat, Mohina Sidom berkata Pakatan Harapan (PH) Sabah memiliki autonomi penuh dalam membuat keputusan, termasuk dalam hal pelantikan jawatan penting dalam gabungan itu yang merupakan sebahagian daripada prinsip dasar yang memberi ruang kepada PH Sabah untuk menentukan arah tuju politik mereka secara bebas tanpa campur tangan luar.
Sehubungan itu katanya, Pergerakan Wanita UPKO melihat pemilihan Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu sebagai hasil daripada proses demokrasi yang telus dan melibatkan persetujuan serta sokongan padu daripada semua parti komponen gabungan tersebut.
Keputusan ini juga mencerminkan keyakinan dan komitmen PH Sabah untuk terus bergerak maju dalam menghadapi cabaran politik semasa.
"Campur tangan daripada PH Pusat dalam perkara ini hanya akan memberi isyarat bahawa PH Sabah tidak mempunyai kebebasan atau kemampuan untuk membuat keputusan sendiri.
"Sebaliknya, adalah lebih wajar bagi PH Sabah untuk memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jentera pilihan raya, terutamanya dengan Pilihan Raya Negeri ke-17 yang semakin hampir," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Mohina berkata fokus ini adalah langkah penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan PH Sabah dalam pilihan raya akan datang.
"Pergerakan Wanita UPKO juga ingin menegaskan sokongan penuh terhadap pemilihan Datuk Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah.
"Kepimpinan beliau yang berwibawa dan visi untuk membawa perubahan positif kepada politik Sabah amat dihargai.
"Wanita UPKO percaya bahawa beliau mampu memimpin gabungan ini ke arah kejayaan, memperkukuh kedudukan PH Sabah, dan memberi impak positif kepada rakyat Sabah," katanya.
Menurut Mohina, jika Ewon ditolak sebagai Pengerusi PH Sabah, ia hanya akan memberi gambaran negatif mengenai kekuatan dan kestabilan PH Sabah.
"Ini akan membuka ruang kepada persepsi bahawa terdapat pergolakan dalam gabungan, sedangkan hakikatnya PH Sabah kini semakin kukuh dan berpendirian.
"Semua parti komponen perlu terus menjalin kerjasama erat, bersatu dalam menghadapi pilihan raya dengan penuh keyakinan dan semangat perpaduan," katanya.
Comments