Pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah perlu dipertahankan, tidak harus dipertikaikan - Rogers Tiam
21 Disember 2024
KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Rogers Tiam berkata jika pemilihan melalui undian dibuat dengan adil dan teratur, maka keputusan undian itu adalah sah dan sebarang usaha menentang kesahihan pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu tidak harus ditimbulkan lagi.
"Malahan semua parti komponen dalam PH Sabah telah bersetuju dengan kaedah pemilihan tersebut. Sehubungan itu keputusan pemilihan itu harus dipertahankan demi untuk kepentingan semua pihak," kata Rogers dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rogers, keputusan undian pemilihan yang memihak kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu menunjukkan satu isyarat bahawa kepimpinan PH Sabah mahukan beliau berkhidmat untuk mengemudi PH Sabah.
"Saya berharap agar PH Sabah terus berkhidmat untuk rakyat Sabah dan apa yang seharusnya dilakukan sekarang adalah untuk mengukuhkan persefahaman dan kepercayaan melalui pelayanan dan perkhidmatan yang konsisten kepada rakyat.
"Saya dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick. Saya juga menyeru kepada semua untuk menyokong beliau terutama sekali ahli parti dan komponen serta mereka yang yakin dengan usaha dan kepimpinan beliau," katanya.
Comments