Pemimpin Sarawak pernah persoalkan kebolehpercayaan terhadap Warisan - Bernard Dompok
15 November 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Giluk Dompok mendedahkan bahawa seorang pemimpin dari Sarawak sebelum ini pernah meragui keikhlasan pemimpin Parti Warisan berhubungan cadangan kerjasama Sabah dan Sarawak.
Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, beliau kini memahami keraguan atau ketidakpercayaan pemimpin berkenaan terhadap Warisan berdasarkan kenyataan Presiden Warisan Datuk Shafie Apdal dalam kempen pilihan raya umum ini.
“Sarawak tidak percaya mereka. Saya berpeluang bercakap dengan mendiang James Masing (Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing) semasa Shafie ketua menteri Sabah.
“Saya ke sana (Sarawak) untuk melihat sama ada boleh diwujudkan satu kerjasama antara kerajaan Sabah dan Sarawak ketika itu. James Masing tanya saya, Bernard Do you trust them? Saya terkejut kerana tidak memahami maksud beliau (mendiang James),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Harapan Parlimen Penampang di perkarangan Boulevard Hypermarket, Kepayan di sini, semalam.
Dompok berkempen bagi membantu bakal presiden UPKO yang bertanding kerusi Parlimen Penampang atas tiket Pakatan Harapan (PH) Datuk Ewon Benedick.
Turut hadir dan menyampaikan ceramah Timbalan Pengerusi DAP Malaysia Gobind Singh, Ewon, Calon Harapan Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ketua PKR Penampang Joseph Alex Chang, Adun Kepayan Jannie Lasimbang, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin dan Setiausaha Agung UPKO Nelson W Angang.
Dompok berkata, beliau juga telah mendengar ucapan Shafie yang mendakwa, Upko kini hilang halatuju dan imej.
“Dia mengatakan bahawa saya pergi ke rumah dia untuk meminta supaya Upko diberi 18 kerusi pada pilihan raya negeri lepas. Jadi dia bilang oleh kerana saya minta 18 kerusi, dia beri 12 kerusi. Saya tidak pernah ke rumah Shafie Apdal dan saya tidak tahu pun di mana dia tinggal.
“Shafie kawan saya, saya kenal dia. Saya terkejut dengan perubahan dia,” katanya.
Dompok berkata, tidak salah bagi rakyat Penampang untuk mengundi Ewon sebagai wakil rakyat Penampang kerana beliau orang Penampang, membesar di Kota Belud dan Penampang serta belajar di Penampang.
Beliau juga yakin dan percaya Ewon calon terbaik untuk menjadi suara rakyat Penampang dan Sabah di Parlimen.
“Beliau berhasrat untuk berkhidmat di Penampang membantu mencari jalan penyelesaian pelbagai permasalahan di Penampang seperti banjir yang berlanjutan sejak dahulu lagi. Begitu juga dengan peluang pekerjaan dan liputan internet di Penampang.
“Beberapa hari yang lalu, kami berkempen di kampung dan liputan internet sangat teruk. Saya dengar Ewon menyatakan bahawa masalah liputan internet di Penampang harus diselesaikan.
“Saya percaya masalah talian internet yang teruk di Penampang dapat diatasi kerana ia adalah antara manifesto atau Tawaran Harapan dalam PRU15,” katanya.
Opmerkingen