top of page
  • Wartawan Nabalu News

PEMTS berdaftar, komited jaga seni budaya Murut Timugon



15 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Persatuan Etnik Murut Timugon Sabah (PEMTS) telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bulan lalu.


Presiden PEMTS, Junik Bajit berkata, persatuan itu ditubuhkan dengan tujuan memelihara dan memartabatkan seni budaya dan warisan Murut Timugon yang semakin pupus.


"Sebenarnya Murut Timugon dikira agak terlambat dalam menubuhkan persatuan jika dibandingkan dengan etnik Murut yang lain di negeri ini seperti Tenggara, Nabai, Paluan, Tagol, Baukan dan Binta yang telah berjaya memelihara dan mengangkat seni budaya dan warisan masing-masing di samping sudah mempunyai koperasi kecil-kecilan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah beliau, PEMTS juga memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan ekonomi masyarakat Murut Timugon yang kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman Sabah terutamanya Tenom.


"Jadi kita yakin dengan adanya PEMTS, kita bukan sahaja dapat membantu dalam memastikan kelangsungan seni budaya asal dan warisan Murut Timugon tetapi juga dalam melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat kita," katanya.


Junik juga menegaskan bahawa PEMTS bukan bertujuan untuk bersaing dengan Persatuan Murut Sabah (PMS), sebaliknya akan bergerak seiringan dan bekerjasama dengan PMS.


Beliau turut mengumumkan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PEMTS bagi sesi 2023-2025 yang terdiri daripada pelbagai jawatan dan biro. Antara nama-nama yang terlibat ialah Juarib Ebin, Jenson Tamio, Steven Jimin, Jimmy Jawatah, Basir Abdullah, Lawrence Lauseh, Sujah Suntat, Awang Damit Aspar, Haji Wahab Timpai, Munis Haji Ismail, Laisi Asik, Iny Jim dan Sami Jiman.


Beliau mengalu-alukan semua yang berketurunan Murut Timugon untuk menyertai PEMTS dan menghubungi Basir (011-36026488) atau Wahab (013-8860144) untuk maklumat lanjut.



bottom of page